Ramai beranggapan dia sudah selesa di gelanggangnya selain tidak ramai penyanyi muda yang ‘berpeluang’ mengendali kontroversi seperti yang dilalui.

Mengakui selesa mengatur kembali langkah dalam laman seni, Haqiem sedar dirinya sering menjadi sasaran ejekan segelintir warganet.

Apa sahaja yang dilakukan oleh penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini sering kali menjadi bahan gurauan dan serangan kata-kata kecaman sehingga terdetik di hati Haqiem, berat benarkah salahnya?

“Kalau cakap pasal kontroversi itu, sejujurnya saya masih trauma. Pernah sekali saya makan di kedai mamak, ada pelanggan yang mengejek dan ‘membahan’ saya.

“Ketika itu, hati saya remuk.Tapi sekarang saya lebih bersikap terbuka dan hadam kritikan atau kecaman. Saya selalu ingatkan diri, kejahatan harus dibalas dengan kebaikan.

“Kadang-kadang mereka hanya berani dalam media sosial, tapi bila berdepan diam membisu. Saya tak mahu ambil kisah sangat, nanti melarat dan merosakkan diri sendiri sahaja,” katanya memulakan bicara.

Tidakkah terfikir untuk menutup sahaja ruangan komen dalam media sosialnya, Haqiem memberitahu, tidak mahu mengambil langkah tersebut.

Baginya, warganet mempunyai hak untuk memberi komen dan dia hanya mahu mengambil yang positif sahaja.

“Lagipun sekarang sudah semakin kurang mereka mengecam. Rakan-rakan termasuk media juga banyak membantu saya dan menjadi tempat mengadu,” katanya yang popular dengan lagu Segalanya.

Alang-alang berbicara tentang sahabat, soalan terarah kepada bagaimana Haqiem memilih sahabat. Menyedari dunia hiburan banyak onak ranjaunya, Haqiem mengakui, dia lebih selesa kekal bersahabat dengan teman yang sama-sama membesar, namun tetap terbuka untuk berkawan dengan artis.

“Ada sahaja rakan artis yang saya rapat seperti Ariff Bahran dan Afieq Shazwan. Saya tak rasa itu satu masalah sebab kita berkawan sahaja. Mana yang baik, kita ikut. Mana yang kurang baik, kita tegur dan nasihat.

“Cuma saya belajar untuk mencari sahabat yang ada ketika susah dan senang. Bukan mudah untuk kita mencari kawan sejati sekarang. Paling penting, kita ikhlas dalam bersahabat dan orang pun akan ikhlas dengan kita,” katanya.

Beli rumah untuk ayah ibu

Menyimpan impian untuk membeli rumah sebagai hadiah kepada ibu bapanya, Haqiem sudah mula belajar untuk menyimpan duit. Mengakui agak boros ketika mula melangkah dalam industri, dia kini belajar daripada kesilapan. 

Bakal membuka perniagaan menjual burger tidak lama lagi, penyanyi Selamat Tinggal Sayang ini sudah mula mengumpul modal dan menyusun strategi bagi mengembangkan perniagaannya itu.

“Dulu saya suka beli kasut dan permainan. Sekarang sudah boleh fikir keperluan dan kehendak.

“Saya juga belajar untuk menyimpan. Kalau diizinkan, saya mahu beli rumah dan kereta untuk mak ayah. 

“Rumah saya sekarang ini kecil jadi memang saya sudah lama simpan hasrat saya untuk menghadiahkan sebuah rumah kepada mereka. Saya letak sasaran tahun depan,” katanya.

Baru melancarkan album pertamanya, Segalanya, penyanyi ini mengakui, pada era muzik digital, penjualan album tidak semeriah dahulu, namun dia menaruh kepercayaan kepada peminat setia untuk membeli produknya.

Memuatkan enam buah lagu termasuk Tergantung Sepi dan Jatuh Bangun, Haqiem bersyukur kerana impiannya  tercapai kerana bukan mudah untuk penyanyi baharu sepertinya memiliki album.

“Album fizikal adalah portfolio bagi seseorang artis, jadi saya percaya masih ada peminat yang menantikan sebuah album. Alhamdulillah, penjualan memberangsangkan tapi tidaklah sampai beratus-ratus ribu,” katanya.