Cathriona White, 28, ditemui terbaring di rumahnya di Los Angeles oleh dua rakannya pada Isnin lalu.

Jurucakap polis, Fred Corral berkata, pihaknya masih menyiasat kes tersebut, namun tidak menolak kemungkinan ia kes bunuh diri.

Pada 25 September lalu, White yang merupakan wanita Ireland dan jurumekap artis Hollywood ada memuat naik status ‘selamat tinggal’ di laman sosial Twitternya.

Wanita jelita itu yang menjadi kegilaan Carry sejak 2012 turut memuat naik sekeping gambar dengan kapsyen yang dipetik daripada pementasan The Land of Heart’s Desire, karya W.B Yeats, di laman Instagram sehari sebelum itu.

Carrey, 53, dalam satu kenyataan berkata, beliau bersedih dengan pemergian White yang digelarnya sebagai ‘bunga Ireland’.

White dan Carrey mula berpacaran pada penghujung 2012, namun mengakhiri hubungan tersebut selepas beberapa bulan.

Mereka kemudiannya kembali bersama pada Mei lalu, namun Carrey dikatakan memutuskan hubungan mereka pada Khamis minggu lalu.

Media turut melaporkan White ada meninggalkan sekeping nota untuk pelakon Liar Liar itu sebelum membunuh diri, namun isi kandungannya dirahsiakan ketika ini. – AFP