Benar, komitmen dalam alam percintaan ini banyak menuntut kesabaran. Persediaan mental juga diperlukan bagi mengelakkan masalah salah faham. Lagipun, perlu diingatkan bahawa alam percintaan bukan selama-lamanya manis bak gula. Ada waktunya pahit bak hempedu angkara sikap pasangan kita sendiri.

Mengakui serik untuk menempuh momen sebegitu dalam masa terdekat, pelakon Zahirah MacWilson, 23, nekad untuk menjalani kehidupan solo buat sementara waktu. Dia mahu terbang bebas macam burung tanpa dibelenggu sebarang permasalahan pada saat ini.

“Saya semakin selesa dengan keadaan sekarang. Seronok dan rasa tenang tak ada apa-apa ikatan. Dulu ada hati yang perlu dijaga, kini semata-mata untuk diri saya sahaja,” kata Zahirah dalam nada keceriaan berkongsi keadaan diri selepas menempuh pasca putus cinta hampir empat bulan lamanya.

Atas sebab itu, seboleh-bolehnya pelakon yang popular dengan drama Jangan Benci Cintaku tidak mahu dikaitkan dengan bekas kekasihnya yang bernama Zul Ariffin, 32. 

Analoginya mudah dalam hal berkenaan. Kalau kita sudah tak ada apa-apa hubungan dengan orang itu, buat apa lagi hendak dikaitkan bersama. Lagipun, masing-masing sudah ke depan. Ada tanggungjawab dan kehidupan yang perlu diuruskan.

Pelakon drama Cik Cinderella dan Encik Tengku ini juga menganggap soal putus cinta itu sebagai satu proses untuk mematangkan diri. Hikmah terbesar itu umpama ‘jam loceng’ dalam hidupnya agar menjadi insan lebih fokus terhadap urusan harian dan lebih strategik merancang langkah dalam bidang seni selepas ini.

“Kalau dulu, memang hati saya rapuh setiap kali mengenangkan sakitnya dikecewakan. Saya mudah menangis. Sekarang tidak lagi. Saya bangkit daripada kesilapan masa lalu. Saya dah buat banyak silap. Dah rugi banyak masa dalam hal ini.

“Paling dikesali apabila saya membelakangkan orang tua demi rasa cinta pada kekasih. Sedangkan pada hujung-hujungnya, saya yang merana. Tapi tak apa. Saya sudah pun mendapat pengajaran,” katanya dengan nada positif.

Zul dan Zahirah bercinta selepas gambar berpegangan pasangan pelakon di sebuah restoran tersebar di laman sosial sekitar tiga tahun lalu. Hubungan mereka tidak berjaya disebabkan faktor orang luar yang dilihat sebagai penghalang.

Bukan juga dia

JIKA ada pihak yang mendakwa Zahirah konon-kononnya sudah menemui pengganti Zul apabila dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan dan bekas pelumba kereta litar Formula 1, Nik Iruwan Nik Izani baru-baru ini, tanggapan itu sememangnya salah.

Zahirah dikatakan menyambut hari jadi Nik Iruwan dalam keadaan romantik di sebuah restoran mewah di ibu kota awal Jun lalu.

Menganggap lelaki yang merupakan kenalan rapat pengurusnya itu sebagai abang, penuntut Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Curtin di Perth, Australia ini mengakui hubungan itu tidak lebih daripada teman biasa.

“Saya hanya akan kembali bercinta apabila bertemu dengan lelaki yang boleh mengubah pandangan saya terhadap perasaan cinta itu sendiri. Barangkali pandangan saya salah, jadi dia boleh memperbetulkannya. 

“Setakat ini, saya belum berjumpa sesiapa yang boleh memacu pandangan saya ke arah pengertian cinta sejati itu. Kalau dah jumpa dengan seseorang, masa itu barulah saya boleh pertimbangan kembali nak bercinta,” ujarnya.