Kisahnya, Aida diberitahu seorang teman, pelakon kacak yang sedang popular menerusi drama Aku Pilih Kamu, Hafidz Roshdi ada berjanji untuk datang ke lokasi yang telah ditetapkan bagi menjayakan satu sesi fotografi. Memang sudah lamalah berjanji, malah dia juga sudah setuju untuk hadir tanpa sebarang masalah.

Tiba masa yang dijanjikan, kawan Aida pun menunggulah dengan geng-geng lain yang sudah bersedia memberikan komitmen kerja. Tunggu punya tunggu, punya tunggu, sampai ke sudah. Usahkan batang tubuh, bayang dia pun tak nampak.

Kawan Aida yang uruskan sesi fotografi tersebut berkali-kali cuba hubungi Hafidz, sampai habis bateri telefon bimbitnya, langsung tidak berjawab.

Sampai ke petang menunggu, berjam-jam tiada sebarang penjelasan diberikan. Jangan kata mahu minta maaf, kalau jawab pesanan di telefon pun tidak mahu selepas itu, langsung tidak rasa bersalah.

Malangnya, sampai ke hari ini, tiada sebarang penjelasan daripada Hafidz sendiri kenapa dia buat begitu. Kita pun faham kalau orang ada masalah. Yalah, risau juga kot masuk hospital ke, sakit tercekik tulang ke, tiba-tiba kena buat sidang akhbar nak kahwin secara mengejut di tempat lain ke (macam pelakon yang kata tiba-tiba nak kahwin tu, opsss..)

Hmmm, mujur Hafidz ada memuat naik status di laman sosial dengan rancaknya pada hari yang sama, jadi kawan Aida tahulah Hafidz baik-baik sahaja, tidaklah perlu dirisaukan.

Tidak boleh begitu Hafidz, kalau ada masalah sekalipun, janganlah terus berdiam diri membisu seribu bahasa, buat orang macam tiada perasaan. Bukan susah pun nak membalas pesanan yang dihantar.

Andai betul tak dapat hadir disebabkan hal yang tak boleh nak dielakkan, cakap terus terang, bukannya berdiam diri sebegitu kerana akhirnya akan menyusahkan orang lain. Media sudah tempah jurugambar, studio sudah tersedia alih-alih diam seribu bahasa, mana pergi budi bahasa kita?

Perangai macam ini bahaya, esok-esok kalau terjadi lagi perkara yang sama memang malap harapan untuk terus kekal dalam industri. Itu buat kat media, kalau tak hati-hati, selepas ni buat hal dengan pihak produksi pula, sendiri tempah nahas namanya.

Secara peribadi, Aida memang suka lakonan Hafidz yang menjadi sebahagian dari penonton drama Aku Pilih Kamu. Pernah Aida simpan niat suatu hari nanti ingin buat sesi fotografi bersama, sebab dia memang berbakat dan punya masa depan yang baik dalam industri. Tetapi kalau sudah begini, takut pula Aida dengar.