“Ayah mengambil bot itu dan dia ke tengah laut. Apabila sampai di satu tempat, itulah kali pertama dia menangis. Kami melihat dari jauh. Sungguh, dia menangis semahu-mahunya,” kongsi Kunal Kapoor, mengenang kisah yang berlaku sekitar lebih 30 tahun lalu.

Sashi Kapoor
 

Sendirian di laut terbuka yang luas, hanya kesedihan yang mengepung jiwa. Dia seperti digoncang oleh kematian sendiri dalam usaha menerima takdir kehilangan isteri tercinta, Jennifer Kendel yang meninggal kerana kanser kolon pada detik 7 September 1984 di London. Semenjak detik itu, sebahagian teman-teman terdekat beranggapan, Shashi Kapoor sebenarnya sudah 'meninggal dunia', jiwanya lama mati seiring dengan kematian wanita yang dicintai.

“Ibu saya mati ketika dia berusia 50 tahun, ayah ketika itu baru berusia 46 tahun.

"Kematian ibu menyebabkan kami dan ayah hidup dalam banyak kesedihan meskipun mempunyai cara kami sendiri untuk menguruskan kesedihan itu,” kata Kunal lagi.

Dalam buku Aseem Chhabra berjudul Shashi Kapoor: The Householder, The Star mencatatkan bahawa Shashi dijaga dengan baik oleh isterinya. Malah, menu makanan harian cukup sempurna, justeru dia tidak seperti ahli keluarga Kapoor lain yang lebih gempal.

"Shashi adalah ahli keluarga Kapoor yang lebih lama langsing, berbanding adik-beradik yang lain.

"Shashi pernah memberitahu bahawa dia akan 'dibunuh' oleh isterinya jika dia makan berlebihan," kata penulis tersebut.

Sepertinya, cinta yang kukuh telah ‘duduk’ dan berumah di dalam hati Shashi, malah mempengaruhi seluruh sendi-sendi kaki tangan sang hero untuk bergerak ke depan lalu menjadi juara di lapanganya.

Lalu, siapa kata tidak ada lelaki kacak, ternama dan terkenal yang setia? Bukanlah cerita bohong apabila lelaki kacak, ternama, kaya raya juga mampu menjadi pencinta yang setia buat seumur hidupnya. Shashi adalah bukti itu.

Sepanjang hidup, dikelilingi banyak wanita-wanita cantik dan ternama, tetapi sehingga ke hujung hayat, hanya ada satu nama yang menjadi kekasih di jiwa. Ketika dia menjadi lelaki yang ingin dipeluk oleh banyak wanita, cintanya kepada wanita itu hanya pergi bersama kematian.

“Aku selalu dapat rasakan seperti dia masih ada. Dan rumah kami, segala-galanya masih sama, sepertimana ketika dia masih hidup,” demikian kata Shashi setelah beberapa tahun kematian Jennifer, aktres Inggeris yang juga pengasas Prithvi Theatre.

Terus bekerja keras demi kelangsungan kerjaya, malah menghasilkan beberapa karya besar, masih ada sesuatu yang tidak pulih dalam dirinya. Itu secara perlahan-lahan membunuhnya juga.

Seperti tali temali yang mengikat seluruh struktur hidupnya, kematian wanita itu membuatkan jiwa Shashi tidak lagi 'berkuasa' untuk hidup dengan sendiri.

Tidak hairan, selepas Jennifer meninggal dunia, Shashi mengambil minuman keras, seolah-olah telah kehilangan rentak hidup. Semakin gemuk dan kemudian dihinggapi pelbagai penyakit termasuk masalah jantung. Ketika saat hampir meninggal dunia, sebahagian memorinya juga dikatakan semakin hilang.

Pada ketika dia menutup mata pada Isnin, 4 Disember lalu, terlalu banyak yang telah dikatakan dan ditulis tentang hidupnya. Namun, masih banyak lagi yang menjadi misteri sehingga ke hari kematiannya. Dia memilih untuk menghabiskan sepanjang hidupnya, dengan kenangan.

Ritual 7.30 pagi

Sashi Kapoor
Jennifer Kendal satu-satunya wanita yang ada dalam hati Shashi Kapoor

KUNAL Kapoor turut mendedahkan apa yang Shashi Kapoor benar-benar suka. Meskipun dia seorang yang masyhur, namun anak-anak tidak sama sekali dibawa ke dunia yang sama, malah menjauhi dunia anak wayangnya. Sehinggakan, Kunal sendiri tidak pernah tahu bagaimana ukuran populariti sang ayah pada zamannya.

Dia dan adik yang lain, Karan dan Sanjana tidak dibesarkan sebagai sebahagian daripada industri meskipun ibu bapa mereka orang popular.

“Kami cuma tahu dia seorang pelakon hebat melalui ibu. Ya, keluarga ayah kami adalah pelakon. Itu sahaja,” katanya.

Cuma, pada zaman kecilnya, apa yang dilalui berbeza daripada rakan-rakan yang lain. Berjalan-jalan di Mumbai misalnya adalah satu masalah besar kepada Kunal dan adiknya yang lain.

“Jika mahu pergi ke zoo, kami perlu berada di situ sekitar pukul 6.30 pagi. Dan kami semua mesti melarikan diri, jauh-jauh sebaik sahaja orang ramai berkumpul,” kata Kunal mengenang kisah keluarganya.

HEMMA Malini antara heroin yang rapat dengan Shashi di luar filem.
Hema Malini pelakon wanita yang paling rapat dengan Shashi Kapoor di luar filem

Sepanjang zaman kegemilangan, sang ayah tidak pernah bekerja pada hari Ahad dan hanya menghabiskan sepanjang hari bersama keluarga. Makan sebanyak tiga kali sehari bersama-sama, Shashi tidak pernah menjemput rakan-rakannya pada hari Ahad kerana enggan gangguan. Pada akhir 1970-an dan awal 1980-an, Sashi mula bekerja dalam banyak filem dan pernah menerima enam tawaran serentak dalam satu masa.

“Sibuk mana pun, kami akan tetap duduk di meja makan pada pukul 7.30 pagi. Tidak kira pukul berapa dia pulang ke rumah pada sebelah malamnya, dia akan berada di meja sarapan bersama-sama dengan kami pada pukul 7.30," katanya.

Sashi Kapoor
Shashi Kapoor

Kerana itu, ayah yang bernama Shashi Kapoor itu adalah bahagian penting dalam kehidupan Kunal dan adik-adiknya ketika membesar.

“Sangat sedikit bapa dalam budaya kita mempunyai hubungan erat dengan anak-anak mereka. Apa yang dipelajari dari ayah membuatkan saya juga menjadi lelaki yang rapat dengan keluarga. Saya uruskan anak-anak, cuci najis mereka, tukarkan lampin dan semua saya lakukan kerana demikianlah hubungan saya dengan ayah. Barangkali ayah sendiri tidak mempunyai hubungan seperti itu dengan ayahnya dahulu, maka kami diberikan kasih sayang yang sempurna,” katanya lagi.