Menjelaskan keadaan sebenar, adik kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza itu berkata, bukan sebab mementingkan diri dia tidak berada bersama anak-anaknya, semua itu akibat desakan keadaan.

Dia tahu melalui pengorbanan itu mampu memberi keselesaan buat anak-anaknya.

Buat masa ini, ketiga-tiga anaknya dijaga oleh bekas suami, Saiful Anuar Ahmad Shafie di Kuantan, Pahang, selepas mereka bercerai pada 27 Oktober 2014.

Selain Umairah, Saerah juga mempunyai dua lagi anak iaitu, Ahmad Daiyan, 3, dan Ahmad Aisy, setahun.

Tatkala bercerita tentang anak-anaknya, dapat dilihat Saerah menahan sebak kerana situasi sekarang bukan mudah buat dirinya.

“Memang sekarang saya tinggal di Kuala Lumpur tanpa mereka. Tipu kalau tidak rindu, tambah-tambah yang paling kecil mana saya pernah berpisah, sehingga sekarang saya masih bawa bajunya ke mana-mana.

“Tiap kali rindu saya akan cium bajunya, malah kerap menelefon mereka untuk bertanyakan khabar,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir Siti Nurhaliza di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan situasi yang biasa berlaku dalam kalangan mereka yang sudah bercerai, namun kali ini tugas menjaga anak-anak diberikan kepada bekas suami Saerah.

Menjelaskan keadaan itu, Saerah merayu supaya tidak dihukum tanpa sebab kerana dia lebih tahu apa yang terbaik buat anak-anaknya.

“Memang saya tahu ada yang bertanyakan mengapa saya tidak mengambil alih tugasan untuk menjaga anak-anak. Tetapi dalam keadaan ini saya hanya pentingkan keselesaan anak-anak saya.

“Anak sulung saya memang rapat dengan bekas mentua, jadi saya tahu mereka dalam jagaan yang baik bersama keluarga bekas suami,” katanya.

Tatkala ada yang sibuk bertanyakan apa yang dilakukan Saerah di ibu kota sehingga sanggup berjauhan dengan anak-anak, kata penyanyi itu, tiada apa lagi impian yang tinggal buat dirinya selain mencari rezeki buat menampung kehidupan dia bersama anak-anak.

“Saya perlu mencari rezeki. Di sini saya menjalankan perniagaan pakaian online, tetapi memandangkan keadaan ini masih baru, sukar untuk saya sesuaikan diri.

“Sebab itu saya rela anak-anak berjauhan dahulu sebab saya tahu mereka lebih selamat di sana.

“Pada waktu sekarang memang saya sudah berpindah sepenuhnya ke Kuala Lumpur, untuk bertemu dengan anak-anak itu memang susah tetapi saya akan pasti menjenguk mereka.

“Di sini saya tinggal berdekatan keluarga, jadi orang kata masih baru menapak dan tolong doakan agar semuanya berjalan lancar untuk saya,” katanya.

Berjanji dia tidak akan selama-lamanya berjauhan dengan anak-anak, jelas Saerah, akan tiba masanya dia kembali membesarkan anak-anaknya.

Tambahan pula, kata Saerah sehingga ke saat ini hubungan dengan bekas suaminya juga tidak mengalami masalah.

“Hubungan saya dengan bekas suami masih baik, malah kami tidak membawa masalah hak penjagaan anak-anak ini ke mana-mana. Secara aman kami membuat keputusan ini. Saya juga faham kesukaran bagi pihak saya jika mahu menjaga anak-anak.

“Apa juga yang berlaku mereka adalah anak-anak saya, tentu suatu hari nanti saya mahu mereka berdekatan dengan saya semula,” katanya.

Bagi pengikut setia laman Instagram Siti Nurhaliza, pasti ada yang perasan kehadiran Umairah yang kadang kala menghiasi laman sosial milik penyanyi ini. Tidak dinafikan si kecil ini cukup terkenal melalui kepintarannya. Namun tidak sekadar itu, anak kecil yang baru berusia empat tahun ini kata Saerah cukup faham apa yang dilalui ibunya kini.

“Memang saya terharu Umairah seawal ini sudah memahami apa yang dilalui saya dan ayahnya. Mungkin ini kemudahan yang diberikan buat saya dalam menghadapi keadaan ini.

“Pernah ketika adiknya terlalu rindu dengan saya, dia memujuk adiknya dengan memberitahu, adik jangan risau kakak ada, nanti ibu balik. Itu kata-kata Umairah ketika adiknya menangis mencari saya,” katanya sebak.

Jangan bandingkan dengan kakak

Mustahil untuk tidak dibandingkan kehidupan Saerah dan kakaknya, Siti Nurhaliza. Sebagai adik kepada penyanyi popular itu juga, Saerah tidak menolak ini bukan situasi baharu buat dirinya. Namun dalam keadaan sekarang, dia minta agar mereka di luar sana tidak terus membandingkan dia dengan Siti Nurhaliza, memandangkan apa yang dilalui dia ini mempunyai cerita yang berbeza.

“Saya bersyukur untuk mempunyai sebuah keluarga yang sangat memahami, namun saya tahu ada yang membandingkan kejayaan kakak dengan saya kini. Saya tidak tahu mengapa perlu membandingkan kami kerana laluan yang sudah ditetapkan itu berbeza buat kita semua.

“Setakat ini memang saya tidak lagi kisah, saya akan biarkan sahaja mereka untuk kata apa sahaja. Cumanya saya tahu sebagai seorang ibu tunggal saya akan berusaha untuk memajukan perniagaan saya,” katanya.

Siapa yang tidak ingat, Saerah juga sebenarnya pernah bergelar seorang penyanyi. Ditanya kecenderungan terhadap bidang ini, kata Saerah sukar untuk dia menipu diri kerana memang ingin terus bergelar seorang penyanyi lagi. Cuma di kala ini perasaan itu masih lagi belum kuat untuk dia teruskan, katanya tunggu sahaja masa yang sesuai.

“Memang kalau ada peluang, saya mahu menyanyi kembali, cuma ini bukan waktu yang sesuai buat saya. Saya masih sibuk menguruskan perniagaan saya dahulu.

“Orang kata kalau mahu menyanyi juga mesti ada sepenuh jiwa, mungkin belum ada waktu yang sesuai untuk saya meneruskan niat ini,” katanya.

Tanggal 27 Oktober 2010 menjadi tarikh indah buat dirinya apabila dinikahkan, bagaimanapun pada 27 Oktober 2014 pula menjadi tarikh keramat buat dirinya apabila diceraikan. Satu tarikh yang akan kekal menjadi ingatan penting buat dirinya, namun tegas Saerah dia tidak pernah merancang keadaan ini. Bagaimanapun sebagai seorang hamba dia pasti akan ada hikmah di sebalik kejadian ini. Hanya mampu berserah, Saerah berjanji tidak akan mensia-siakan masa depannya demi anak-anak.

“Saya diceraikan pada tarikh yang sama saya dinikahkan, memang saya sendiri tidak rancang tetapi saya tetap reda. Memang ada yang tidak percaya memandangkan lima tahun berkahwin, orang nampak kami bahagia.

“Buat masa sekarang memang fokus utama saya anak-anak, apa yang berlaku di antara saya dengan bekas suami rasanya biarlah terus menjadi rahsia kami berdua,” katanya.

Tidak menafikan keadaan fizikalnya yang semakin kurus ini ada kena mengena dengan apa yang sedang dilaluinya kini. Bagi Saerah, dia tidak akan terus menyalah keadaan. Bagaimanapun menceritakan kembali saat-saat diceraikan, jujur kata wanita ini memang hatinya hancur ketika itu.

“Saya memang kurus selepas melahirkan anak ketiga, cuma kebetulan apa yang berlaku ini terus menambahkan keadaan resah itu sehingga saya semakin kurus.

“Saya diceraikan talak tiga, ketika berada dalam mahkamah, memang saya tidak mampu gambarkan apa yang berlaku. Tetapi mahu buat macam mana memang ini yang sudah tertulis walaupun saya sudah usahakan sebaik mungkin,” katanya.