Miss J pun tidak tahu apa kena mengena konsert hiburan dengan tahun baharu. Tengah malam masing-masing menjerit tahun baharu tetapi esoknya kembali kepada perangai lama terutama orang Melayu. Kaum lain kuat bekerja, orang Melayu kuat berhibur. Tak berubah. Tahun ini konsert hiburan dirancang di Putrajaya.

Tetapi yang baiknya di Dataran Merdeka, buat pertama kalinya dalam sejarah dianjurkan persembahan selawat, Malam Cinta Rasul. Selalunya di Dataran Merdeka dilongokkan dengan macam-macam artis pada malam tahun baharu selain bunga api. Miss J tak tahu idea siapa tetapi ini satu perubahan yang mesti dialu-alukan.

Pada masa yang sama sekarang ini negara ini dalam keadaan darurat. Bencana banjir terbesar dalam sejarah telah melanda saudara mara kita di pantai timur. Dianggarkan 100,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan. Kerosakan harta benda dan kediaman memang tidak terhitung banyaknya.

Walaupun keadaan dalam negara begitu gawat, rumah ditenggelamkan banjir, sekolah tiga tingkat pun hanya tinggal bumbung tetapi konsert hiburan tak ada tanda-tanda untuk dibatalkan sehinggalah ada arahan supaya berbuat demikian. Memang betul konsert hiburan tahun baharu dibatalkan tetapi seperti dalam keadaan terpaksa.

Bagi Miss J perkara seperti ini tidak perlulah nak tunggu arahan dari mana-mana pihak. Sepatutnya penganjur lebih awal membatalkan konsert tahun baharu sebagai membuktikan mereka mempunyai perasaan dan bersimpati dengan mangsa bencana alam ini. Miss J percaya kalau tidak ada arahan sudah tentu Putrajaya yang 99 peratus dihuni oleh orang Islam akan bergegar dan bingit mencemarkan kedamaian dengan nyanyian dan muzik.

Malah Miss J juga percaya di KLCC dan Jalan Bukit Bintang akan bergegar dengan muzik yang melemaskan. Maknanya orang di Kuala Lumpur terus berhibur macam “tak sedar dunia” dalam keadaan saudara mara kita menderita di pantai timur.

Sepuluh tahun dulu pun sama juga, ketika itu tsunami melanda Aceh dan beberapa negeri di utara. Konsert tahun baharu terpaksa diarahkan supaya dibatalkan. Kalau tidak ada arahan dalam keadaan bencana maha dahsyat di Aceh yang mengorbankan lebih 100,000 nyawa, di Kuala Lumpur terus berhibur macam tidak ada apa-apa berlaku. Jenis apakah kita ini?

Apakah yang nak jadi dengan sesetengah daripada kita sebenarnya? Masih tidak mampu membuat keputusan di atas rasa kemanusiaan. Miss J sebenarnya tidak gembira kerana pembatalan konsert bukan datang dari hati , tetapi sekadar menurut perintah. Harap persembahan selawat di Dataran Merdeka dapat diteruskan sempena Maulidur Rasul pada 3 Januari depan.