Biarpun ramai yang melihatnya sebagai seorang yang petah berbicara namun hakikatnya dia sendiri mengakui sering menggeletar sebelum memulakan siaran langsung. Kerana perasaan gementar yang sukar dibuang itulah membuatkannya lebih rela bekerja di belakang tabir berbanding di hadapan tabir satu ketika dahulu.

Bertemu dengannya baru-baru ini, wanita yang berasal dari Kajang, Selangor ini berkongsi kisah kehidupannya sejak kecil sehinggalah sekarang. Anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini merupakan seorang kanak-kanak yang agak pendiam dan lebih suka menyendiri.

“Masa kecil dulu kalau nak dibandingkan dengan abang dan adik, perangai saya memang lain sikit. Mereka berdua petah dan suka menyanyi tapi saya lebih kepada berniaga. Saya suka membantu emak, Hasnah Hassan menjual kuih karipap di sekitar flat Pekeliling (Kuala Lumpur) sebelum emak membuka restoran di Taman Ceupacs, Kajang.

“Saya gembira dapat membantu ibu malah saya pernah bercita-cita untuk membuka perniagaan makanan suatu hari nanti. Berbeza dengan abang dan adik pula mereka lebih kepada muzik dan suka menyanyi mengikut minat arwah ayah yang gemar menyanyi.

“Biarpun begitu kami sangat rapat antara satu sama lain. Setiap kali pulang dari sekolah, saya akan membantu ibu sementara keduanya pula akan menyanyi menghiburkan kami. Ayah pula ketika itu merupakan seorang anggota polis jadi bila ada acara nyanyian yang dianjurkan, pasti dia dan kedua adik beradik saya mengambil bahagian,” tutur nya.

Tambahnya lagi, keluarganya berasal daripada sebuah keluarga seni. Ayahnya Hussein Ali merupakan orang kuat dalam industri muzik tanah air dan pernah membuka syarikat rakaman MataHati Production bersama M. Nasir. Sementara abangnya Shaiful Asnawi dan adiknya Ruhil Amani merupakan pelakon dan penyanyi sekitar tahun 80-an.

“Saya lebih suka di belakang tabir. Masa adik saya Ruhil mula-mula bergelar penyanyi saya menjadi pembantu peribadi dia dan banyak menguruskan kerjaya dia. Ketika itu, saya sedang menunggu keputusan akhir dalam jurusan Ijazah Perniagaan daripada RIMA Kolej, Johor Bharu,” ujarnya.

Bergelar pengacara

Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan syarikat Life Records, Shafinaz tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bergelar seorang personaliti ketika itu. Segalanya bermula apabila dia ditawarkan untuk menyertai TV3 pada tahun 1994 ketika berumur 22 tahun.

“Saya berjumpa ramai orang ketika bergelar pengurus adik saya Ruhil. Sehinggalah saya dipelawa untuk menyertai TV3 oleh Pengarah Operasi syarikat berkenaan, Yunus Said. Masa tu dia ingin saya menggantikan pengacara program Majalah Tiga ketika itu, Azura Karim yang sarat mengandung.

“Sebenarnya masa tu tak yakin langsung dengan diri sendiri. Saya baru sahaja dapat semangat berhadapan dengan orang apabila bergelar pengurus namun tiba-tiba terpaksa mengendalikan program besar yang bersiar secara langsung pula. Jadi keberanian langsung tak ada.

“Disebabkan rasa gementar saya ditukarkan ke jabatan hiburan dan melakukan kerja-kerja belakang tabir menguruskan program hiburan seperti Muzik-Muzik dan sebagainya. Dari situlah saya banyak belajar mencari kekuatan untuk berhadapan dengan khalayak.

“Lapan tahun selepas itu saya ditawarkan oleh personaliti Ezah Fawzy untuk menjadi pengacara program Wanita Hari Ini. Masa tu saya ingat nak tolak sahaja memandangkan umur dah cecah usia 30 tahun tapi saya fikir kalau tak cuba bila lagi,” tutur nya.

Tambahnya lagi, memandangkan ketika itu dia masih belum dikurniakan anak setelah empat tahun mendirikan rumah tangga bersama Gibran Agi, yang juga merupakan pelakon drama dan teater, dia akhirnya menerima tawaran tersebut dengan semangat untuk mencuba perkara baru.

“Waktu ujibakat saya tengok semua datang bawa skrip panjang tapi saya tak bawa apa-apa. Suami suruh saya senyum sahaja depan kamera. Masa tu ingat lagi saya cakap pada ahli panel yang saya hanya ingin mencabar diri untuk membuat sesuatu yang luar biasa dan keluar daripada zon selesa.

“Alhamdulillah tak sangka rezeki berpihak kepada saya. Bila bergelar pengacara, saya berdepan pula dengan kesukaran untuk menjadi diri sendiri dan terikut-ikut dengan gaya penyampaian personaliti lain.

“Sebenarnya bukan apa, bila kita mengambil alih sebuah rancangan yang dah kukuh jadi kita akan terikut-ikut dengan gaya pengacara sebelum itu. Macam saya ketika itu sukar untuk asyik terbayang gaya penyampaian senior seperti Ezah Fawzy, Norfarahin Jamsari dan Azura Karim,” ujarnya.

Ketika dirinya selesa dengan tugas sebagai pengacara, dia diberi peluang pula untuk menerbitkan rancangan besar iaitu program Nona. Dia terpaksa melakukan dua kerja dalam satu masa. Pun begitu sepanjang mengendalikan rancangan tersebut dia pernah mendapat rating tertinggi dan itu merupakan saat yang paling membanggakan dalam kariernya.

Sempat berkongsi pengalaman manis sepanjang berkhidmat, Shafinaz tidak dapat melupakan saat dihantar ke Nias, Sumatera Utara ketika tragedi gempa bumi pada tahun 2005.

“Waktu itu saya dan beberapa orang wartawan di hantar ke sana dengan menaiki kapal terbang yang membawa ubat-ubatan. Dari Malaysia kami ke Medan dahulu dan kemudian baru ke Nias. Mulanya perancangan kami di sana sekejap sahaja tapi sebaliknya apabila gempa bumi terjadi lagi ketika kami di sana.

“Masa tu Tuhan sahaja tahu perasaan saya. Nak balik semula ke Medan tak dapat sebab kapal terbang sudah tiada. Terpaksa tunggu keesokan harinya. Malam tu kami tidur atas tanah lapang. Nak dijadikan cerita, esoknya pula kapal terbang cuma boleh bawa lapan orang sahaja pulang. Jadi saya dan seorang lagi kawan wartawan Shahril A. Kadir terpaksa tinggal tunggu kapal terbang keesokan harinya pula.

“Hari ketiga baru kami dapat pulang. Sampai sahaja di Malaysia terus membuat lintas langsung walaupun tak mandi tiga hari. Itu merupakan pengalaman yang cukup berharga dan membuatkan saya insaf,” ujarnya.

Restoran Bunga Lawang

Setelah hampir 13 tahun berkhidmat, pada tahun 2008, ketika namanya sudah pun dikenali ramai, dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri demi memberi masa dan ruang untuk bersama keluarga terutama anak tunggalnya, Ruhil Batrisya Agi.

Kini walaupun tidak terlibat lagi dalam dunia pengacaraan, dia dan suami sibuk menguruskan syarikat Magicdreams Media Sdn. Bhd.. Syarikat produksi dan pengiklanan tersebut ditubuhkan sejak 10 tahun lalu. Ia banyak menerbitkan program untuk televisyen.

“Kami banyak buat program berbentuk dokumentari. Selain itu, kami juga ada menerbitkan drama untuk siaran stesen televisyen kerajaan dan juga swasta. Magicdreams sekarang banyak diuruskan oleh suami saya sebab sejak tahun lalu saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan makanan.

“Saya buka Restoran Bunga Lawang yang beroperasi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dan dalam proses untuk membuka cawangan kedua hujung tahun ini di Kota Damansara. Ia mengetengahkan resipi turun temurun daripada ibu yang sememangnya pandai memasak,” ujarnya yang baru kehilangan ayah pada Mac lalu.