Dek tidak mahu terlalu bergantung dengan arwah nenek, Nizam pernah bekerja sebagai penanam pokok tutup bumi di ladang kelapa sawit di tiga buah bukit di kawasan Bahau, Negeri Sembilan sewaktu berusia 12 tahun.

Itulah permulaan Nizam membantu neneknya dari segi kewangan. Biarpun upah yang diterima pada waktu itu hanya berjumlah RM60 seminggu bekerja namun yang penting dia dapat meringankan beban neneknya itu.

“Kalau tiba musim cuti sekolah, saya tanya orang kampung jika ada kerja-kerja yang boleh saya lakukan.

“Mana tahu ada yang cari orang untuk kerja-kerja menebas lalang atau memotong kayu, saya terima dengan hati terbuka,” kata Nizam yang pernah belajar di Sekolah Menengah Vokasional, Seremban, Negeri Sembilan pada 1982.

Sikap berdikari Nizam diteruskan selepas tamat zaman persekolahan apabila dia nekad berhijrah ke Kuala Lumpur (KL) untuk mengubah nasib dan memperoleh lebih pendapatan.

Menjadi penghantar surat di sebuah syarikat di Wisma MPI, Jalan Raja Chulan selepas tamat persekolahan pada 1983, bagaimanapun kerja itu cuma bertahan selama setahun. Dengan pendapatan bulanan sebanyak RM350, Nizam turut menyimpan sebahagian gaji bulanannya.

“Duit simpanan itu buat biaya yuran belajar Diploma Kejuruteraan Sivil di Institut Teknikal Brickfields. Tapi saya tak habis belajar, cuma sempat dua tahun saja.

“Masa saya berumur 19 tahun, saya balik semula ke kampung. Saya bekerja jual ayam goreng dan burger dengan sepupu, Ahmad Tarmizi di Seremban,” ceritanya.

Sewaktu usia menginjak 20 tahun Nizam berhijrah ke Felda Jengka 2, Pahang untuk bekerja di sebuah bengkel pembuat tangki pemprosesan kelapa sawit.

Hanya bertahan selama lebih setahun, Nizam kemudiannya mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung halamannya pada 1988.

Sejak itu Nizam dan Ahmad Tarmizi sering menghabiskan masa jamming di studio selepas habis waktu bekerja di pasar malam selama empat tahun. Ahmad Tarmizi sebagai gitaris manakala Nizam selaku vokalis.

Menyanyi

Tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian sewaktu zaman persekolahan Nizam bagaimanapun mengakui pernah menyasarkan untuk menjadi penyanyi satu masa nanti.

Namun Nizam tidak menyangka impiannya itu terlaksana apabila dia diberi peluang untuk membuat persembahan bersama-sama kumpulan CRK yang popular dengan lagu Cinta dan Air Mata di Kelab Jockey, Jalan Imbi, KL pada 1991.

Pada waktu itu kata Nizam, dia tidak menyangka persembahannya itu turut disaksikan oleh Ismail Ahmad Nawab, anak sulung penggubah lagu terkenal, Datuk Ahmad Nawab.

Menyanyikan lagu Joget Berhibur, You Give Love A Bad Name dendangan asal kumpulan Bon Jovi dan Cinta Kristal (Rahim Maarof) tambah Nizam, itu adalah permulaan kepada kerjaya seninya secara serius.

“Tawaran sebagai penyanyi rakaman diterima dengan tangan terbuka. Ahmad Nawab mengesyorkan untuk menjadi penyanyi solo.

“Tapi disebabkan semangat setia kawan terlalu tinggi pada waktu itu maka saya mengajak Ahmad Tarmizi dan rakan-rakan yang beraksi sama dalam kelab itu untuk menubuhkan sebuah kumpulan.

“Selepas perbincangan dibuat, tertubuh kumpulan Laksamana secara rasmi pada awal 1991,” katanya yang menggunakan nama komersial Nizam Arjuna.

Kumpulan Laksamana yang masyhur dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta ini juga pernah mendapat anugerah emas apabila hasil jualan album pertama berjudul Syukur dijual melebihi 65,000 unit.

Bagaimana hayat Laksamana tidak lama apabila mereka berpecah selepas menghasilkan album kedua berjudul Resah pada 1992.

Pada tahun-tahun itu juga wujud banyak isu dalam industri hiburan seperti cetak rompak, isu rambut panjang dan kesukaran untuk mendapatkan tawaran persembahan.

Keadaan itu menyebabkan perjalanan seni Laksamana turut terganggu kerana mereka bergantung sepenuhnya dalam bidang muzik. Sehinggakan ada dalam kalangan ahlinya mengambil keputusan untuk keluar daripada Laksamana.

Bagaimanapun lain ceritanya dengan Nizam. Dia bernasib baik apabila ditawarkan untuk menghasilkan sebuah album solo oleh syarikat rakaman ESE Productions pada 1995.

Pun begitu album berjudul Memanah Bintang 3 yang diterbitkan oleh M. Nasir dan Rahim Othman itu bermasalah dari segi pemasaran dan promosi. Akhirnya album itu terkubur.

“Keadaan itu cukup mengecewakan saya. Saya berpatah arang dan tak ingin untuk kembali menyanyi,” katanya yang kemudian memutuskan untuk tidak terlibat langsung dalam dunia hiburan.

Kehidupan baru

TIDAK bekerja selama tiga bulan selepas berhenti menyanyi, akhirnya Nizam memulakan hidup baru.

Dia bekerja sebagai pelayan di kedai makan milik saudara isterinya, Salwati Zulkifli, 40, di Menara Promet, KL selama dua bulan sebelum bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang perabot.

Selain itu kata Nizam, dia juga pernah bekerja sebagai pengurus syarikat kawalan serangga perosak di Keramat, KL selama dua tahun.

“Saya tidak malu untuk membuat kerja-kerja sebegitu walaupun masyarakat mengenali wajah saya. Kalau pun ada yang bertanyakan sebab saya tidak menyanyi, saya beritahu yang saya merajuk dengan industri atau rezeki saya tak ada di situ,” kata bapa kepada Muhamad Aniq Adam, 18, Muhamad Ali Shaifudeen, 17, Nur Ellis Adeeba, 15 dan Nur Elisa Adeera, 10.

Bagaimanapun ‘rajuk’ Nizam terubat apabila dia dipujuk oleh Awang BPR untuk sama-sama menerbitkan album berjudul Penangan Rock bersama-sama Bagio Damasutra, Alim Kriss dan Nai Dinamik pada 2007, selepas kira-kira 12 tahun tidak terlibat dengan industri.

Nizam juga masih meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian apabila merakam dua lagu yang berjudul Kekasih pada 2013 dan Tiada (2014) biarpun kini dia sudah mempunyai syarikat sendiri .