Pelakon Sherry Al Hadad (tiga dari kanan) dan Aizat Amdan (dua dari kanan) menjadi juri bagi program realiti bakat dalam talian, BOM.

BOM ialah rancangan yang tidak mengehadkan umur dan latar belakang dalam mempamerkan bakat istimewa melalui video.

Ketua Kandungan dan Perancangan Strategik, Ahmad Khairi Zulkifli berkata BOM adalah platform yang tepat bagi mereka yang tidak berpeluang menonjolkan kelebihan.

“BOM memberi peluang kepada rakyat Malaysia tanpa had umur bagi menunjukkan kemahiran atau bakat istimewa yang mereka ada. Ini peluang terbaik untuk mereka yang ingin menyerlah sebagai bakat sensasi dan seterusnya sebagai medium untuk penuhi impian.

“Kami sangat teruja nak beri peluang kepada bakat-bakat baharu di luar sana untuk mempamerkan bakat kepada seluruh negara,” katanya dalam satu sidang media pencarian bakat baru BOM di Kuala Lumpur, hari ini.

Misi pencarian BOM telah pun bermula sejak 16 September lalu dengan tempoh masa sebulan telah ditetapkan bagi mereka yang mahu bertanding dalam program itu.

“Individu atau kumpulan yang berminat boleh serahkan video uji bakat mereka yang berdurasi maksimum 60 saat secara dalam talian di www.hurr.tv/BOM,” tambahnya yang mengalu-alukan sesiapa berminat untuk menghantar video tersebut.

Kata Ahmad Khairi lagi, pihaknya juga memilih selebriti Sherry Al Hadad dan Aizat Amdan selaku juri bagi membuat pemilihan dan penjurian BOM.

Selain juri profesional, BOM turut menggunakan konsep undian penonton iaitu sebanyak 50 peratus dan bakinya akan diadili oleh juri.

Pemenang rancangan ini akan membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM100,000 dan sebuah Proton Saga 1.3 (A), RM20,000 (tempat kedua) dan RM8,000 (tempat ketiga).

BOM boleh ditonton menerusi laman sesawang hurr.tv mulai 2 November ini.- UTUSAN ONLINE