Amyra Rosli

Pelakon jelita yang menggapai populariti menerusi drama popular termasuk Suamiku Encik Sotong, Jodoh dan Supermax ini dianggap menghampiri garis sempurna sehingga ada menggelarkannya primadona muda industri perfileman dan drama tempatan.

Pencapaian Amyra kini boleh membuatkannya tersenyum lega setelah mengharungi jalan sukar untuk mencipta nama sebaris pelakon sedia ada.

Walaupun dikatakan sudah hampir di puncak kejayaan, namun anak sulung daripada empat beradik ini tidak pernah lupa untuk menoleh ke bawah. Sifat itu menjadikannya cukup disenangi peminat dan wartawan.

Terbaharu, pelakon yang amat petah berbual kini sibuk menjalani penggambaran untuk drama terbaru berjudul Isteri Tuan Ihsan yang bakal menemui peminat pada penghujung tahun ini.

Amyra ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran Astro baru-baru ini menceritakan pengalaman membawakan watak komedi di samping pelakon popular dan berpengalaman, Aaron Aziz.

“Penggambaran baru bermula dan setakat ini, semua berjalan dengan lancar. Drama ini mempunyai jalan cerita menarik dan cukup menghiburkan. Saya pun sudah agak lama tidak membawa watak komedi seperti dalam cerita ini.

“Bekerja dengan Aaron adalah satu pengalaman tak dapat dilupakan. Saya amat mengagumi tahap profesionalisme dan bakat beliau. Aaron banyak memberi tunjuk ajar dan cukup senang untuk diajak berbincang perihal lakonan.

“Saya juga amat menghormati beliau, bukan sahaja sebagai seorang pelakon senior, malah sebagai suami yang cukup menjaga batas ketika berada di set.

“Dia sentiasa kreatif dan mencari pelbagai alternatif untuk tidak terlalu bersentuhan dengan pelakon perempuan ketika melakonkan babak romantis,” katanya penuh riang.

Diajak bercerita tentang hubungannya dengan Amar Baharin, Amyra secara bersahaja memberitahu masih terlalu awal untuk berkongsi tentang jodoh kerana tidak mahu memperkatakan sesuatu yang belum pasti.

Dia yang pernah putus tunang satu ketika dahulu hanya berserah pada ketentuan Ilahi dan mengharapkan doa terbaik daripada semua.

“Jodoh bukan perkara main-main. Saya belajar daripada kesilapan lalu dan mahu lebih berhati-hati tentang hal ini. Lebih elok tunggu sehingga sampai masa sesuai untuk menguar-uar kepada semua,” ujarnya tenang.

Mengulas mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, Amyra mengakui kegembiraan tidak seperti dahulu setelah ketiadaan neneknya yang menghadap Ilahi pada Mei lalu.

“Saya dan arwah Mak Tok amat rapat kerana dia seperti ibu sendiri. Setiap kali menjelang Syawal, kami sekeluarga akan balik ke Port Dickson dan berhari raya bersamanya serta saudara-mara lain.

“Tahun ini, kemeriahan itu berkurangan. Mungkin kami sekeluarga hanya menyambut hari raya di Kuala Lumpur,” tambahnya sayu. – AL FAIZAL/ FARIZ RUSADIO