Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Persembahan minggu setiausaha tampilkan Ziana Zain, Noryn Aziz dan Ning Baizura

Tiga penyanyi hebat bersatu di atas satu pentas. 4
Tiga penyanyi hebat bersatu di atas satu pentas.

JULUNG kalinya, syarikat Switch On Entertainment mengeluarkan bajet besar untuk menggabungkan enam individu yang mereka gelarkan diva di atas satu pentas, demi menarik minat para setiausaha tanah air.

Sempena sambutan minggu setiausaha pada April nanti, syarikat tersebut walaupun masih baharu dalam dunia showbiz dilihat tidak takut mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan khidmat tiga penyanyi terkenal iaitu Ziana Zain, Noryn Aziz dan Ning Baizura.

Bukan itu sahaja, peruntukan turut dikeluarkan untuk mendapatkan tiga pengacara, Sharifah Shahira, Roslan Shah serta Ifa Raziah bagi memeriahkan dua persembahan yang dinamakan Queen Of The Cite: Diva Malaysia Live.

Bakal berlangsung di dua lokasi pada 9 April di Hotel ShangriLa Kuala Lumpur serta pada 25 April di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, Switch On optimis dengan perbelanjaan yang telah dikeluarkan.

Pengarah Urusannya, Shahriz Taher berkata, dia yakin kedua-dua persembahan tersebut akan mendapat sambutan menggalakkan apatah lagi buat pertama kalinya, trio Ziana, Noryn dan Ning disatukan di atas pentas yang sama.

“Ini adalah sejarah dalam industri hiburan tempatan. Lebih menarik, bukan mereka bertiga sahaja, tetapi terdapat tiga lagi pengacara yang turut akan menghiburkan tetamu dengan celoteh yang bersahaja.

“Siapa yang tidak kenal akan Shira (Sharifah Shahira), Ifa dan Roslan? Ketiga-tiganya dikenali dengan perangai yang tersangatlah ‘gila’. Ia menambahkan lagi kehangatan untuk kedua-dua hari tersebut.

“Lebih istimewa, walaupun enam artis ternama akan terlibat, harga tiket yang ditawarkan begitu berbaloi. Paling mahal pun hanya RM750 seorang. Sangat murah kalau nak dibandingkan dengan persembahan lain yang hanya melibatkan seorang atau dua orang artis tetapi mencecah harga ribuan ringgit,” katanya penuh yakin pada sidang akhbar minggu lalu.

Janji tidak berebut

TIGA orang pengacara yang sememangnya terkenal dengan gaya pertuturan laju serta dipenuhi elemen humor tersendiri secara kasarnya mungkin akan menggemuruhkan seisi dewan.

Tetapi, andai tersilap percaturan, mungkin akan kedengaran seperti kelam-kabut apabila kesemuanya mahu bercakap serentak. Menjelaskan situasi itu, Roslan memberitahu senario sebenar yang akan mereka lakukan pada hari persembahan itu kelak.

“Saya sebenarnya ditawarkan untuk mengendalikan segmen cabutan bertuah sahaja. Sementara Ifa dan Shira sebagai perantara persembahan pada hari tersebut.

“Ini bermakna, saya hanya tampil selama 15 minit di akhir persembahan untuk memastikan tetamu yang hadir terhibur dalam debaran mereka mengetahui nasib sama ada dapat atau tidak membawa pulang hadiah cabutan bertuah yang lumayan nilainya,” ujar Roslan.

Shira pula berkata, dia dan Ifa akan bergilir mengacarakan persembahan tersebut dengan perancangan yang teliti supaya tidak berlaku pertindihan.

“Insya-Allah, dengan pengalaman kami, saya berjanji untuk menjadikan persembahan itu tidak berserabut, tetapi penuh dengan gelak tawa serta berjalan lancar,” tuturnya.

Sama juga bicara yang keluar daripada mulut Ifa, dia mengharapkan tetamu yang datang bersifat selamba bagi menambahkan lagi kelancaran acara dan memeriahkan suasana.

Bukan tugas mudah

SEMENTARA itu, Ziana Zain, Noryn Aziz dan Ning Baizura ketika ditemui berkata, percaturan yang dibuat Switch On Entertainment bukan satu tugas mudah buat mereka.

Di samping berkongsi keterujaannya, Ning beranggapan tawaran tersebut sebagai satu penghargaan buatnya kerana diberi peluang membuat persembahan bersama dua penyanyi yang disifatkan diva di ‘liga’ berlainan.

Seperti mana diketahui umum, menurut Ning, dia sendiri dikenali sebagai penyanyi soul, Ziana pula untuk genre pop, manakala Noryn hebat dalam muzik jaznya.

“Gabungan tiga penyanyi daripada genre berbeza merupakan satu langkah bijak penganjur walaupun mereka masih terlalu baru dalam bisnes ini. Namun ada cabarannya terutama dalam menentukan lagu sesuai untuk kami bertiga nyanyikan bersama.

“Masing-masing ada lagu kegemaran sendiri. Tetapi apabila diteliti semula, mungkin ia tidak sesuai untuk vokal saya, Ziana mahupun Noryn. Jadi, perlukan ketelitian untuk membuat pilihan akhir supaya penonton terhibur dengan persembahan kami kelak,” katanya.

Ziana pula menambah, setiap seorang daripada mereka mungkin akan menyanyi sebanyak empat atau lima buah lagu tidak termasuk lagu trio. Menurutnya, senarai lagu telah dibuat dan diserahkan kepada pengarah muzik, Alwyn Santiago.

Katanya, ada beberapa lagu popularnya akan disampaikan secara medley agar memenuhi kehendak peminatnya.

“Secara total, kemungkinan 17 lagu bakal kami persembahkan dalam sebuah persembahan selama dua jam setengah. Ini ibarat konsert, tidak akan berhenti, secara terus menerus tanpa adanya selingan penyampaian hadiah cabutan bertuah atau sebagainya.

“Itulah kelainan yang dipertaruhkan penganjur untuk memaksimumkan penggunaan masa yang terhad. Pengacara akan tampil di awal dan di akhir persembahan sahaja,” jelas Ziana.

Noryn pula menyatakan, persembahan di Minggu Setiausaha bukanlah asing baginya kerana pernah beberapa kali terbabit sebelum ini.

Cuma yang membezakan kali ini adalah, dia diberi kesempatan menjayakannya dengan Ziana dan Ning yang ada aura tersendiri untuk menarik minta orang ramai membelanjakan wang ringgit membeli tiket.

“Keterujaan kali ini berbeza berbanding persembahan lalu kerana adanya dua lagi penyanyi yang bukan calang-calang. Jadi, ia memerlukan fokus yang lebih untuk menikmati saat-saat yang paling berharga buat saya bersama mereka, di samping memberi kepuasan maksimum kepada tetamu,” katanya.

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan