Bahkan Baihaqi lebih tertarik dengan patung wayang kulit yang disifatkan sangat unik berbanding terikat dengan siri permainan dalam talian yang menjadi ikutan rakan-rakannya yang lain.

“Sejak kecil lagi, saya sering berimaginasi menjadi tok dalang dalam persembahan wayang kulit. Apa saja barang depan mata akan dijadikan seperti patung wayang kulit.

“Selalunya penyangkut baju atau batang pokok yang menjadi 'mangsa' untuk digunakan,” kata Baihaqi yang turut mempunyai sebuah bilik khas yang menempatkan tirai wayang kulit bagi memudahkan dia berlatih di rumahnya.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Serdang Baru 2, Seri Kembangan, Selangor ini juga bertuah kerana minatnya itu disokong penuh oleh bapanya, Kamarul Baisah Hussain yang juga merupakan pemain wayang kulit.

Banyak mempelajari selok belok permainan wayang kulit menerusi pemerhatian daripada lelaki itu, Baihaqi juga bertuah kerana minatnya itu turut mendapat sokongan penuh daripada ibu, Zamzuriah Zahari.

Ibu Baihaqi adalah seorang pelakon makyung dan wanita itu juga secara tidak langsung menyuntik rasa teruja untuk mendalami seni pementasan bayang yang terhasil daripada patung itu.

Atas sebab itu, Baihaqi terpilih dalam program Gema Seni Tradisional: Wayang Kulit Budak anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara) yang bakal berlangsung pada 27 Oktober ini.

Bagi mencari kelainan dalam acara tahunan itu yang diadakan di Blackbox Aswara itu, pihak penganjur bersepakat untuk menampilkan Baihaqi yang bertindak sebagai dalang mempersembahkan cerita Hikayat Rawana.

“Demi Wayang Kulit Budak, saya berlatih lebih awal 10 bulan. Sejak Januari tahun lalu, saya sudah mula menghafal beberapa dialog bagi melancarkan persembahan itu nanti,” kata Baihaqi yang juga berkebolehan bermain alat muzik dalam persembahan makyung dan dikir barat.

Selain itu, Baihaqi juga boleh menyanyi, berlakon dan bersilat selepas pembabitannya dalam beberapa persembahan kecil di sekitar ibu kota dan sekitarnya.

Selain Baihaqi yang menjadi penarik utama Wayang Kulit Budak, persembahan seni kebanggaan penduduk Kelantan itu lebih istimewa lagi apabila turut diiringi kumpulan pemuzik yang juga terdiri daripada lapan orang kanak-kanak di bawah usia 15 tahun.

Kesemua pemuzik berkenaan juga menjalani sesi latihan intensif di Kelantan oleh tenaga terlatih sebelum bergabung di ibu kota dua hari sebelum hari persembahan itu berjalan.

Gabungan mereka semua itu juga bakal mencipta sejarah buat kesenian wayang kulit tanah air dan pastinya menjanjikan harapan positif dalam usaha melestarikan budaya yang semakin dilupakan generasi muda itu.

“Harapan saya cuma satu, saya mahu rakan-rakan mengenali lebih dekat wayang kulit dan beberapa lagi seni warisan budaya Melayu yang semakin dipinggirkan,” kata Baihaqi lagi.

Kisah kepandaian Baihaqi ini juga pernah dirakamkan dalam satu dokumentasi berjudul Daddy, Aqi Nak Jadi Tok Dalang dan telah pun memenangi kategori Dokumentari Terbaik untuk Festival Filem Indie Belia Asian pada 2015.

Sejak kecil lagi, saya sering berimaginasi menjadi tok dalang dalam persembahan wayang kulit. Apa saja barang depan mata akan dijadikan seperti patung wayang kulit.