Bagi mengenang dan melahirkan rasa bangga, komposer Ong Peng Chu diberi mandat untuk menerbitkan sebuah lagu yang mampu mengukuhkan lagi hubungan erat kedua-dua negara.

Ia juga dibuat bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan esok, seumpama ‘hadiah’ istimewa yang ingin diberikan kepada masyarakat Cina dan rakyat Malaysia amnya.

Lagu berjudul Zuo Jian atau bermaksud Bahu Kiri itu ditulis oleh Kai Kai, penyanyi berasal dari China dan disampaikan penyanyi tempatan Masya Masyitah dan Jeryl Lee Pei Ling.

Menurut Peng Chu, dia berterima kasih kepada pihak terbabit kerana percaya dengan kredibilitinya untuk menghasilkan sebuah lagu tema bagi menyambut ulang tahun hubungan baik antara Malaysia dan China.

“Lagu ini tidak dikomersialkan. Ia dicipta atas inisiatif kedutaan China bagi merealisasikan lagu yang mampu menyuntik semangat kedua-dua negara.

“Lirik lagu ini jelas menggambarkan betapa eratnya hubungan kedua-dua negara seumpama saudara. Proses menyiapkan lagu ini hanya memakan masa sebulan.

“Ini adalah penghargaan tertinggi kepada saya apabila berpeluang menerbitkan lagu yang begitu bermakna sebagai salah satu cara mengukuhkan hubungan Malaysia dan China,” kongsinya.

Lirik Zuo Jian (Bahu Kiri)

Cahaya mentari menembusi awan yang bergumpal-gumpal.

Gunung-ganang yang tinggi sama-sama kita mendaki.

Hanya sekilas toleh, senyumanmu yang mesra menyentuh hatiku.

Sahabat sejati tidak akan dipisah jarak dan waktu.

Menyaksikan Laut China Selatan sebagai satu sanjungan yang memilukan.

Kita berkongsi segaris sisiran pantai yang menjadi jalinan perpaduan.

Pasti ada rintangan, namun kau mententeramkan hatiku.

Teman sepanjang hayat yang setia dan jujur.

Hari menjelang siang, namun hujan belum reda.

Kita tetap duduk bersampingan. Ikatan persahabatan tidak akan putus.

Ombak datang dan bawaku pergi.

Bahu kananku menghalang angin dan hujan untukmu, bahu kiriku untukmu berpaut.