“Ya, hidup kami semakin lama semakin bahagia dengan kehadiran Anaqi. Boleh dikatakan saya sendiri kalau boleh tidak mahu berpisah dengannya. Berat hati nak meninggalkan dia di rumah meskipun untuk keluar bekerja dan rasanya semua ibu bapa pun merasai pengalaman yang sama.

“Sebab itu saya dan Amyra akan meninggalkan Anaqi sekiranya keluar bekerja sahaja. Jika ada acara lain yang perlu disertai di seluruh negara, kami akan membawanya bersama,” kata Amar memulakan bicara.

Bagi Amar dia sendiri tidak pernah meletakkan sebarang peraturan khas untuk mereka sekeluarga patuhi terutama melibatkan perihal anak. Walaupun usia Anaqi masih terlalu mentah, dia tidak kisah untuk membawa bayi tersebut menjelajah ke beberapa lokasi sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

Seperti yang diketahui ramai, Amar, Amirah dan Anaqi merupakan duta kepada Kempen Terima Kasih anjuran Media Prima Berhad bersama dengan beberapa rakan artis yang lain termasuklah Faizal Tahir, Remy Ishak, Farah Nabilah dan Erwin Dawson.

Menariknya kata Amar, anak lelakinya itu tidak memberikan banyak ‘masalah’ ketika bertemu dengan orang ramai, berada dalam keadaan cuaca panas dan beberapa keadaan lain yang kurang sesuai untuk bayi.

“Saya memang gembira sangat apabila Anaqi tidak memberikan banyak masalah kepada kami sepanjang kempen berlangsung. Biasalah dalam bulan Ramadan dengan cuaca yang panas dan sebagainya, orang dewasa pun akan kurang selesa.

“Tapi Anaqi rileks sahaja dan tak menangis walaupun dikerumuni dengan peminat. Ini yang membuatkan saya dan Amyra gembira dengan keadaan ini. Tapi apabila pulang sahaja ke hotel memang dia ‘balas dendam’,” kata Amar tertawa.

Dalam pada itu Amar juga gembira apabila Anaqi sudah mempunyai hampir 400,000 pengikut di Instagram. Jelasnya dia menjadikan laman sosial sebagai album untuk melihat perkembangan anaknya sehari demi sehari.

Menariknya, akaun Instagram tersebut bukan sahaja mempunyai pengikut tersendiri tetapi dalam masa yang sama menjadi tempat mencari duit poket untuk Anaqi melalui perkongsian berbayar (IG review) untuk produk terpilih.

“Saya tidak menjadikan perkara tersebut sebagai keutamaan. Jika ada yang berminat untuk menggunakan khidmat ‘Anaqi’ kami akan pertimbangkan. Sebenarnya Instagram itu menjadi tempat untuk kami melihat perkembangan dia sehari demi sehari,” kata Amar.

Amyra teruja

LEBIH setahun tidak muncul dengan mana-mana produksi tempatan, nama Amyra akhirnya kembali memuncak dengan drama Nur yang ditayangkan sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Menyifatkan perkara tersebut sebagai rezeki untuk dirinya, dia sebak melihatkan sambutan hangat yang diberikan oleh peminat kepada mereka.

“Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka drama Nur akan menjadi kegemaran peminat sampai ke hari ini. Kalau nak diikutkan memang ada sahaja drama yang bagus sebelum ini tetapi nak dapat yang benar-benar fenomena bukan mudah, ia bergantung kepada nasib.

“Sejak awal lagi saya sudah mengetahui ada sesuatu yang menarik tentang naskhah ini terutama melibatkan pelacur dan wanita yang hidup di lorong. Saya percaya semua pihak memainkan peranan penting dalam menaikkan rating drama ini,” kata Amyra pula.

Bergandingan dengan Syafiq Kyle dan beberapa pelakon popular yang lain, Nur mengisahkan tentang kehidupan wanita di lorong pelacuran yang berhadapan dengan konflik hidup.

Realitinya, plot penceritaan drama ini tidak klise seperti drama melibatkan subjek yang sama dan terdapat beberapa plot penting yang memberikan kelainan dan kesegaran dalam naskhah kali ini.

Sepanjang dua bulan berada di set, Amyra menjelaskan tidak semua perkara berlaku dengan mudah dan seperti yang diharapkan. “Lokasi tersebut adalah tempat sebenar berlakunya aktiviti pelacuran. Ada ketikanya penggambaran akan berlangsung sehingga waktu subuh. Biasanya Amar akan menemani saya di set. Bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan drama yang berkualiti.

“Kalau Amar menemani saya di set, Anaqi akan tinggal bersama dengan neneknya ataupun pembantu saya. Dia masih kecil untuk mengenali set lakonan,” kata Amyra lagi.

Menariknya, kemunculan semula Amyra ke dalam industri membuatkan banyak pihak yang mula memberikan tawaran berlakon kepadanya. Namun secara peribadi dia sendiri mahukan naskhah yang benar-benar kuat, lain daripada yang lain dan tidak klise.

Tidak mahu lagi terburu-buru bekerja semata-mata mencari wang ringgit, pastinya masa untuk Anaqi dan suami juga perlu diperuntukkan memandangkan mereka sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

“Saya tidak mahu lagi bekerja keras dari satu set ke set penggambaran yang lain macam dahulu. Sekarang anak semakin membesar dan Amar juga perlu diberikan perhatian. Kalau boleh dalam seminggu mesti ada satu atau dua hari cuti. Itulah masa yang boleh saya gunakan untuk memberikan tumpuan kepada keluarga,” katanya lagi.