Hampir lima tahun berusaha akhirnya Baby Shima berbangga untuk memberitahu kariernya sedang berkembang dengan baik di negara jiran.

“Sepanjang lima tahun menjadi penyanyi memang pelbagai cabaran yang saya lalui. Kadang-kadang hairan juga bila rakan lain dapat peluang dengan mudah tetapi berbeza pula nasib saya.

“Ikutkan rasa kecewa memang ada tetapi pada suatu tahap saya tahu tiada guna putus asa. Sebab itu saya terus berusaha sehingga kini. Bila karier saya lebih berkembang di Indonesia, saya rasa lebih yakin,” katanya.

Sukar untuk mentafsir mengapa kerjaya seninya agak perlahan di negara sendiri. Namun kata Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 26, dia yakin sudah tertulis untuknya lebih menyerlah di negara orang.

“Apa yang boleh saya katakan sepanjang mencuba untuk dikenali di sini semuanya nampak terlalu sukar. Bila hantar lagu untuk dimainkan di radio, ia tidak berlaku.

“Ruang untuk promosi memang tidak ada. Tetapi dalam rasa kecewa itulah peluang untuk ke Indonesia hadir. Sebab itu saya yakin dengan rezeki dan sentiasa yakin ini adalah laluan terbaik untuk saya,” jelasnya.