Namun, itu kata lelaki ini. Sebaliknya, bagi mereka yang tahu keupayaan Aznil atau nama sapaannya, Pak Nil dalam mengemudi sesebuah rancangan, sudah pasti kehadirannya sering dinanti untuk mencantikkan lagi setiap program yang disiarkan.

Mengakui pengalaman yang dikutip sejak dari bawah menjadikan beliau lebih mahir mengendalikan emosi penonton dan peserta dalam setiap programnya.

Malah jelas pengacara Akademi Fantasia ini, beliau mahu setiap sentuhannya meninggalkan kesan kepada semua yang terlibat.

“Setiap apa yang saya kerjakan saya mahu meninggalkan impak yang akan diingati penonton sampai bila-bila.

“Pengalaman saya yang bermula daripada seorang wartawan kepada pengacara serta pengalaman berjumpa dengan orang ramai dalam pelbagai latar belakang memudahkan saya untuk memahami audiens di hadapan pentas,” jelas Aznil ketika ditemui pada sidang akhbar program realiti terbaharu Astro Ria, Mikrofon Impian baru-baru ini.

Mikrofon Impian merupakan sebuah program adaptasi daripada candawara nyanyian nombor satu di Thailand. Selain Aznil, Fauziah Latif dan Azmi Saat juga diberi peranan utama sebagai juri tetap program ini.

Menurut Aznil, kemunculannya sebagai pengacara dalam program terbaharu Astro ini adalah untuk memberi kelainan pada penyampaian program yang bercorak kehidupan itu.

“Sebenarnya ada beberapa program telah ditawarkan oleh Astro untuk saya kendalikan tapi saya tolak untuk beri ruang pada pengacara lain. Namun apabila melihat konsep yang dibawakan oleh Mikrofon Impian, saya tertarik dan mahu turut serta dalam ‘keluarga’ ini.

“Dalam program ini saya berjumpa dengan orang yang benar-benar memerlukan wang. Walaupun ada kalanya kita lihat wang yang mereka perlukan itu sedikit, tapi bagi mereka ia sangat besar.

“Program ini menjadi platform untuk kita membantu mereka melangsaikan hutang yang selama ini begitu membebankan hidup mereka,” jelas Aznil.

Program Mikrofon Impian akan bersiaran pada setiap Ahad pukul 9 malam mulai 17 Februari ini secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Keluar Astro

Mengumumkan pengundurannya sebagai Naib Presiden Pengurusan Bakat On Air Astro yang disandang secara tetap sejak 2015, pada 1 Disember lalu, jelas Aznil, perkara itu telah dirancang sejak dahulu lagi.

Mahu membuka kelas pengacaraan dan pengucapan awam, Aznil bagaimanapun tidak meninggalkan Astro sepenuhnya.

“Saya ingin adakan kelas bergerak ke seluruh negara. Idea ini datang apabila saya melihat orang ramai mula menggunakan digital platform untuk berniaga dan menjadikan kebolehan bercakap depan kamera termasuk pengucapan awam sebagai satu bisnes yang tinggi.

“Saya ambil keputusan untuk lepaskan jawatan ini demi impian saya dan bila saya beritahu pihak Astro, mereka terima dengan syarat saya masih berkhidmat sebagai pengacara dan tenaga pengajar bakat On Air,” jelas Aznil.- Gambar Noreeza Hashim