Aznil NAWAWI
AZNIL NAWAWI

Menurut Aznil, sebagai selebriti yang mempunyai hubungan baik dengan penggiat seni serta masyarakat di negara jiran itu, beliau mengharapkan kekeruhan yang tercetus itu akan segera berakhir.

“Saya akan menjadi orang yang paling bersyukur seandainya keputusan Astro mengundang saya sebagai pengganti Najip akan dapat mengubat rasa kecewa peminat-peminat seni Singapura. Secara peribadi, saya adalah kawan Najip. Saya juga mempunyai kelompok peminat saya di sana.

“Justeru, besar harapan saya agar tidak ada peminat di sana (Singapura) yang marah dengan keputusan yang dibuat ini,” ujar Aznil pada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Aznil yang baru sahaja tiba dari London berkata, tugasan sebagai juri tetap MLM bermula malam ini akan dilaksanakan dengan penuh amanah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh stesen televisyen itu.

Bahkan, personaliti popular itu juga berkata, beliau akan melaksanakan tugas sebagai juri tetap berdasarkan pengalaman dan caranya tersendiri.

‘‘Saya menggalas tugas ini sebab saya seorang yang profesional dan saya yakin peminat bijak untuk tidak membandingkan saya dengan Najip.

‘‘Najip mempunyai kualiti yang tersendiri dan begitu juga saya. Ayuh lupakan episod yang telah berlaku dan kita raikan permulaan baru pada apa yang berlaku,’’ tegas Aznil lagi.

Aznil dipilih sebagai juri tetap MLM musim baharu terbitan Astro menggantikan Najip yang baru-baru ini terpalit dengan kontroversi lantaran tindakannya mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rancangan Ok Chope terbitan Media­corp Channel 5, Singapura.

MLM merupakan platform kepada pelawak-pelawak dari Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk bertanding merebut hadi­ah wang tunai RM500,000 bagi juara.

Susulan kontroversi itu, Najip memohon maaf kepada Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang rasmi Mediacorp Channel 5.

Dalam kenyataan itu, Najip berkata, beliau menyesali tindakannya dalam program tersebut yang telah mengundang rasa tidak puas hati penonton.

“Beberapa hari lalu, saya sedar dengan kesilapan terhadap komen yang saya berikan semasa program tersebut yang mengaitkan Perdana Menteri Malaysia. Saya akui tidak sensitif. Saya meminta maaf secara terbuka kepada Najib, rakan-rakan serta semua penonton rancangan tersebut,” kata Najip.

Kontroversi itu turut menarik perhatian Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang turut mempersoalkan tindakan berdiam diri empat lagi peserta rancangan Ok Chope episod 26 yang mempersenda Perdana Menteri.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya tidak berpuas hati kerana empat selebriti terlibat dalam rancangan tersebut, Vernetta Lopez, Sam See, Rishi Budhrani dan Mike Kassim masih belum mengemukakan permohonan maaf secara terbuka seperti mana yang dibuat Najip.