RAMAI yang membuat ramalan bahawa Azmil Karim bakal muncul sebagai juara program realiti Mentor Legend. Ternyata, ramalan itu menjadi kenyataan, apabila protege kepada penyanyi Dayang Nurfaizah itu diangkat sebagai juara dan mengenepikan dua pesaing terdekatnya, iaitu Aina dan Sarah.

Dengan catatan markah sebanyak 86, Azmil dan Dayang layak membawa pulang wang tunai sebanyak RM300,000 serta dua buah kereta Proton Iriz selain trofi.

Peserta dari Tawau, Sabah itu sememangnya sudah dicanangkan-canangkan bakal bergelar juara bagi program tersebut selepas 13 minggu memberikan persembahan yang tidak menghampakan.

Graf dan mutu kawalan suara Azmil, 22, turut dipuji para juri tetap seperti Azmeer dan Adlin Aman Ramli yang sentiasa memberikan komen positif dan membina bagi memperbaiki kekurangan dalam dirinya.

Ternyata, Dayang bagaikan mengambil berat komen-komen para juri setiap minggu dan mengambil komen tersebut bagi menyerlahkan lagi bakat protegenya itu.

Biarpun di konsert pengenalan, Azmil seakan kurang menyerlah, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengorak langkah dan hasilnya dia berjaya membanggakan mentornya yang telah memberikan banyak tunjuk ajar selama tiga bulan program tersebut berlangsung.

Setiap minggu, Azmil menjadi peserta kegemaran oleh penyokong kuatnya hingga kebanyakan konsert mingguan, dia seringkali muncul sebagai juara.

Pada konsert akhir yang berlangsung Ahad lalu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, mempunyai tiga bahagian di mana untuk segmen pertama, protege telah berduet dengan mentor, persembahan solo dan duet bersama artis pilihan masing-masing.

Azmil dan Dayang berduet menerusi lagu Aku Jatuh Cinta dan Menceceh Bujang Lapok diikuti persembahan solo lagu Menanti Sebuah Jawapan serta duet bersama Mimi One Nation Emcess menerusi paduan suara lagu Naluri Lelaki.

Sementara itu, protege Ella, iaitu Nurul Aina Abdul Ghani atau Aina yang mengutip markah sebanyak 68 berada di kedudukan kedua dan meraih wang tunai sebanyak RM200,000 berserta trofi.

Protege Amy Search, Maishara Fazny Mahadzir atau Sarah yang mendapat kutipan markah sebanyak 61, berada di tempat ketiga turut berpuas hati dengan kemenangan yang diterima iaitu wang tunai sebanyak RM100,000 bersama trofi masing-masing.