Menurut Azman atau Azman Syah Alias, setiap stesen mempunyai tanggungjawab sosial terhadap komuniti dengan menyajikan program televisyen yang bukan sekadar berlandaskan hiburan semata-mata bahkan mempunyai unsur ilmiah yang tinggi.

“Program-program seperti Imam Muda, Pencetus Ummah, Da’i dan seumpamanya adalah bagus untuk membangunkan generasi berdaya intelek yang tinggi bukan sahaja dengan ilmu duniawi bahkan ilmu ukhrawi.

“Namun penerbit perlulah menerapkan pengisian bermanfaat kepada masyarakat dengan mempertaruhkan objektif yang sewajarnya. Jika untuk populariti, perkara itu sudah lari dari landasan yang diredai Allah,” katanya.

Azman berkata demikian sewaktu majlis pelancaran ubat gigi Aurawhite yang menyaksikan dirinya dipilih sebagai ikon produk berkenaan.

Tambahnya, bagi mengelakkan tanggapan umum kononnya program-program sebegitu telah melahirkan individu yang digelar ‘ulama segera’, Azman mencadangkan agar pihak penerbitan memperhalus dan memperkasakan semula isi kandungan rancangan.

“Memang sukar hendak menepis persepsi khalayak. Mereka bebas berkata-kata tetapi masakan pokok bergoyang jika tiada anginnya?

“Jadi kita perlu ambil kira dan buat penilaian semula. Pastikan penghasilan program tersebut meninggalkan impak positif.

“Tak rugi kita berusaha, ada ganjarannya. Allah melihat kepada usaha kita,” komen Azman. - UTUSAN ONLINE