Tatkala diperkenalkan, bagai tidak percaya bahawa penyanyinya baru berusia 17 tahun sekali gus mengenepikan andaian ramai selama ini bahawa penyanyi bernama Aziz Harun ini mencecah usianya pertengahan 20-an.

Berasal dari Brunei, Aziz sudah mula aktif dalam dunia nyanyian sejak berusia tiga tahun. Jangan tidak tahu, selain menyanyi, anak bongsu daripada enam beradik ini juga pandai menulis dan menggubah lagu sendiri dan itu termasuklah lagu Senyum yang kini mendapat tempat di hati peminatnya.

Bercerita lanjut, kata Aziz, sejak dari kecil, dia sudah terdedah dengan dunia muzik terutama nyanyian memandangkan keluarganya berkongsi minat yang serupa.

“Saya mewarisi bakat seni daripada ayah. Tetapi ayah saya bukan seorang penyanyi pun. Cuma dia memang suka muzik. Kami enam beradik memang dibesarkan dengan pendedahan muzik sejak kecil.

“Saya boleh bermain gitar dan kalau nak tahu saya belajar main gitar dengan kakak saya. Cuma, sejak dia tinggal Australia saya belajar sendiri. Yang kelakarnya, walaupun saya belajar main gitar dengan kakak, dia sendiri sudah lupa macam mana main gitar,” katanya.

Bagaimanapun, kata Aziz, meski keluarga sudah memberi lampu hijau untuknya berkecimpung dalam dunia muzik, dia telah diberi kata dua oleh bapanya untuk tidak lupa pada syarat awal yang telah diberikan.

Menurut pelajar tingkatan 5 Sekolah Antarabangsa Jerudung, Brunei ini, memandangkan dia masih bersekolah, bapanya enggan membiarkan Aziz hanyut dalam keseronokan dunia hiburan meski tahu muzik adalah minat utamanya.

“Sudah tentu pelajaran harus menjadi keutamaan saya buat waktu ini. Keluarga memang tak pernah halang minat saya terhadap muzik. Tetapi saya tak boleh terus lupakan pelajaran.

“Malah, awal-awal lagi ayah saya sudah bagi syarat, kalau saya mahu teruskan bidang muzik sekali pun, saya kena melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dalam pelajaran.

“Saya dah rancang nak menyambung pengajian di London. Kemungkinan akan mendalami bidang ekonomi sebab di sekolah subjek ekonomi memang subjek yang saya sangat sukai.

“Harap-harap masa tu peminat masih menyokong saya lagilah,” katanya tersenyum.

Bahagi masa

Tahu bahawa segalanya bukan mudah tatkala dia masih lagi di bangku sekolah dan perlu memberi tumpuan pada dua perkara dalam masa yang sama, kata Aziz, dia tidak menganggap ia satu beban.

Kata Aziz, dia cuma perlu tahu menyusun waktu dengan baik untuk mengimbangkan pelajaran dan muzik dan setakat ini semuanya mampu dikendalikan dengan baik.

Menurutnya lagi, dia juga dalam masa yang sama menghasilkan lagu dan lirik pada waktu kelapangan dan setakat ini sudah memiliki beberapa buah lagu yang disimpan kemas belum dikeluarkan.

Mengakui meminati dunia penulisan lirik dan lagu, kongsi Aziz, dia juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan Faizal Tahir untuk lagu Senyum apalagi ini adalah projek pertama dia menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu.

Kongsi Aziz, berbanding bahasa Inggeris, baginya menulis lagu dalam bahasa Melayu adalah lebih sukar memandangkan ada perkataan yang tidak sama penggunaannya buat pendengar di Malaysia di Brunei.

“Ada jurang bahasa juga antara bahasa Melayu di Brunei dan Malaysia. Tetapi saya berterima kasih pada Faizal kerana dia banyak membantu. Paling utama, meskipun dia dalam masa yang sama membimbing saya menghasilkan lagu ini, dia tidak pula meletak had keupayaan untuk saya meneroka kreativiti.

Dalam pada itu, meski sudah merasai bahang popu­lariti kini apalagi apabila ramai yang sudah mengenali dirinya sebagai penyanyi di pasaran Malaysia, Aziz bagaimanapun dalam rendah diri masih mera­sakan dirinya masih lagi hijau dalam dunia hiburan.

“Mula-mula rasa terkejut juga bila dapat tempias popular, tetapi saya pula yang rasa biasa sahaja. Tak popular pun saya ni. Apa yang saya harapkan adalah sokongan daripada semua peminat tidak kira siapa,” katanya yang meminati penyanyi Jason Mraz dan Datuk Jamal Abdillah.