Sungguhpun nama dan wajah Azira acap kali menjadi buruan rumah produksi, sekali gus menawarkan tawaran seni kepadanya, jelas sekali tidak pernah terlintas di hati kecil anak jati Kuala Lumpur ini mahu bersaing dengan ahli kumpulannya.

Mungkin ramai yang beranggapan Azira lebih menyerlah dek dihujani dengan banyak tawaran lakonan berbanding membuat persembahan pentas bersama-sama De Fam akan tetapi hal itu langsung tidak menerbitkan rasa kurang selesa kepada ahli kumpulan yang lain.

Kata Azira, adat berkumpulan harus saling memahami malah perkenalan selama lapan tahun sudah membuatkan mereka kenal hati budi masing-masing.

Ikuti perbualan antara Mega HITS dengan pelakon drama siri Mr. Donat Karamel ketika bertemu dengannya di majlis memperkenal program baharu saluran ntv7 baru-baru ini.

MEGA HITS: Sebelum ini banyak cerita kurang enak timbul berhubung kedudukan Azira dalam De Fam. Sejauh manakah kebenaran cerita itu?

AZIRA: Saya masih lagi anggota De Fam termasuklah Cik Manggis dan Sophia. Tiada istilah De Fam akan terkubur atau sebaliknya.

Wajah Azira sering berada di hadapan kamera, bagaimana pula rakan-rakan yang lain? Apakah mereka tidak berkecil hati?

Dari awal kemunculan De Fam lagi kami sudah berjanji untuk tidak sekat rezeki masing-masing. Tiada sebab untuk saya meminggirkan Cik Manggis dan Sophia serta memilih jalan ke bidang lakonan pula. Mungkin rezeki saya orang nampak lebih ke arah lakonan tapi sebenarnya nyanyian tetap keutamaan. Soal berkecil hati itu, kami bertiga langsung tiada rasa iri hati dan cemburu antara satu sama lain lebih-lebih lagi jika ada yang dapat rezeki lebih.

Jadi apa perancangan De Fam sekarang?

Mungkin orang tengok De Fam jarang keluar televisyen dan tak ada keluarkan lagu baharu. Tapi sejujurnya setiap minggu kami memenuhi undangan persembahan pentas. Buat masa ini, kami memang dalam perancangan untuk keluarkan single baharu yang mendapat sentuhan produser dari Singapura. Jika sebelum ini kami keluarkan lagu dwibahasa, kali ini sepenuhnya lagu dalam bahasa Melayu jadi pilihan kami.

Bila nak lancarkan single terkini?

Proses nak hasilkan single ini memakan masa yang agak lama memandangkan kami perlu menunggu kekosongan waktu produser Singapura terbabit. Kalau ikut perancangan awal, kami mahu lancarkan sebelum Ramadan tetapi nampaknya tak sempatlah. De Fam kalau boleh nak keluarkan produk yang bukan setakat bagi orang dengar tetapi mahu beri mesej yang baik dan positif.

Bagaimana pula perkembangan kerjaya seni Azira ketika ini?

Alhamdulillah, saya bersyukur tawaran seni masih ada untuk saya. Selepas lakonan, saya kini sedang membiasakan diri dalam dunia pengacaraan pula. Kini saya diberi tanggungjawab mengemudi Pop!TV di ntv7 yang disiarkan setiap Jumaat pukul 9.30 malam. Tugas ini bukanlah satu hal yang mudah, saya kena buat rujukan tentang dunia hiburan dan memperbaiki kemahiran mengacara dengan menonton banyak program bual bicara. Malah saya juga kena banyak membaca dan mencari ilmu.

Selepas nyanyian kemudian lakonan dan kini pengacaraan. Mana satu sebenarnya fokus Azira?

Saya seorang yang suka cabar diri. Saya bukanlah jenis yang hanya duduk selesa pada satu-satu cabang. Kalau ada peluang untuk saya ceburi setiap bidang dalam dunia hiburan memang saya akan cari ruang. Saya tak mahu sekadar berpuas hati dengan nyanyian dan lakonan semata-mata. Jika ada peluang seperti pementasan teater, saya dengan tangan terbuka teringin nak sertai. Bergelar anak seni bagi saya perlu mempelbagaikan bidang dan cabar bakat. Saya mahu cuba semua dan akan fokus melakukannya.

Dengan pengurusan masa yang betul, insya-Allah semua perkara boleh direalisasikan.