Pernah popular menerusi lagu Hujung Waktu, duo yang terdiri daripada Azhar Osman, 30 dan Hael Husaini, 31, itu berpecah kira-kira setahun lalu.

Berkata kepada Utusan Online, Azhar tidak menjangka persembahan mereka berdua mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

“Sebelum ini ramai yang membuat spekulasi liar mengenai perpecahan Azhael. Jadi, ini adalah bukti jelas yang menunjukkan kami masih berkawan baik.

“Lagipun, Fizi dan Shakilla adalah rakan kami dan persembahan tersebut tidak dirancang. Atas permintaan ramai, kami bersetuju menyampaikan lagu tersebut. Tak sangka majlis itu jadi gamat sebegitu,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Azhar, dia dan Hael tidak bercadang untuk kembali bersatu bagi membentuk Azhael kerana masing-masing sudah membuat haluan sendiri.

Bagaimanapun, sama ada dia atau Hael, kedua-duanya tidak mempunyai masalah untuk menyanyi bersama-sama di majlis keraian secara santai dan suka-suka.

“Hael pun semakin sibuk dengan kerjaya solonya dan juga karier di belakang tabir selaku komposer. Saya juga ada perancangan sendiri termasuk dalam bidang lakonan.

“Tidak lama lagi, saya juga akan menghasilkan single solo memandangkan telah dilamar oleh syarikat rakaman. Cuma belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Menurut Azhar, dia sudah semakin selesa untuk bergerak solo seperti sekarang walaupun diakui pada peringkat awal perpecahan Azhael berasa agak kekok.

Insya-Allah katanya, dia bakal bernaung di bawah sebuah syarikat pengurusan yang akan menguruskan karier seninya. - UTUSAN ONLINE