Bertitik tolak dari situ, pasangan pelakon itu kemudiannya menerima banyak tawaran daripada pihak penganjur dan peminat yang mahu melihat pasangan itu ‘disatukan’.

Pun begitu, tidak mudah untuk mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua bintang filem Sembilu itu.

Bagaimanapun tidak buat filem Warna Cinta Impian terbitan Touch Tronics Entertainment yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 31 Mac ini.

Bukan sekadar menyatakan persetujuan, Awie dan Erra sendiri yang menggarap jalan cerita mereka dalam filem tersebut.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Warna Cinta Impian adalah filem yang bakal mengimbas semula kisah percintaan Awie dan Erra yang hangat diperkatakan sekitar 90-an dulu.

Tambahan pula menggunakan nama sendiri untuk menjayakan watak dalam filem tersebut, pastinya memberi kelebihan buat pasangan aktor itu mengenang semula nostalgia cinta Awie-Erra.

Warna cinta Awie-Erra

Dek kerap menerima tawaran untuk menyatukan mereka, Awie dan Erra bersepakat untuk menjenamakan kisah cinta silam itu agar tiada pihak yang sewenang-wenang mencedok idea kisah percintaan mereka pada masa depan.

Biarpun perancangan tersebut kelihatan agak berlebih-lebihan namun Erra merasakan perkara itu perlu dilakukan kerana tidak mahu ada unsur penambahan yang boleh mengundang rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

Mengimpikan kisah cinta mereka diangkat ke layar perak, Erra bagaimanapun perlu memastikan pendedahan kisah cinta mereka itu berkesudahan dengan penamat yang menggembirakan.

“Umum sudah mengetahui jalan cerita kami. Tapi ramai yang tak tahu kebenaran cerita yang sebenar. Terlalu banyak spekulasi terjadi setiap kali kami dilihat bersama.

“Sedangkan hakikatnya kami bersahabat baik. Kami masih boleh berkawan dan bergurau senda dengan batas-batas tertentu.

“Yang penting, saya selesa bekerja dengannya dan tidak ada masalah untuk bergandingan semula. Perkara melibatkan kerja ini kenalah profesional,” katanya yang juga bertindak sebagai juri program nyanyian Kilauan Emas Otai.

Berhubung wataknya dalam Warna Cinta Impian, Erra menegaskan bahawa filem berkenaan tidak mengangkat keseluruhan kisah cintanya dengan Awie kerana mereka hanya watak sampingan semata-mata.

Biarpun filem itu mengisahkan cerita cinta namun tumpuan lebih kepada kisah hero dan heroinnya iaitu Erwin Shah Dawson membawakan watak Daniel dan Shikin Kamal (Diana).

“Penampilan saya dan Awie hanya sebagai penguat dalam filem itu,” katanya sambil menafikan Warna Cinta Impian mempunyai persamaan dengan jalan cerita filem Dilwale lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol itu.

Warna Cinta Impian mengisahkan tentang sebuah perkahwinan yang diatur oleh keluarga tanpa ada sebarang perasaan cinta di hati. Pelbagai konflik yang berlaku dalam kehidupan berumah tangga Daniel dan Diana.

Filem arahan N.S Krishan itu menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dan menjalani penggambaran sekitar ibu kota, Brisbane, Australia dan Jaipo, India.

Selain Erwin dan Shikin, filem itu turut dibintangi Azlee Khairi, Nelydia Senrose dan Nazeera Sardi.

Nostalgia cinta 
Awie-Erra

 

PADA mulanya, Awie mengakui agak keberatan untuk menerima tawaran Warna Cinta Impian memandangkan bimbang dengan tanggapan liar khalayak andai kerap digandingkan bersama.

Ini kerana masing-masing ketika menerima pelawaan daripada pihak produksi masih berkeluarga. Awie ketika itu belum berpisah dengan Rozana Misbun manakala Erra masih lagi isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Mendapat tawaran pada 2014, filem itu bagaimanapun hanya menjalani penggambaran pada pertengahan tahun lepas. Secara kebetulan, Awie sedang berdepan dengan kemelut rumah tangga dan Erra pula sudah bercerai.

Pun begitu, pemilik nama Ahmad Azhar Othman ini mengakui agak keberatan untuk menerima tawaran itu kerana tidak mahu mencetuskan kontroversi andai digandingkan dalam satu naskhah yang sama.

Namun selepas melalui proses perbincangan antara pihaknya bersama-sama Erra dengan Touch Tronics Entertainment, akhirnya mereka bersetuju untuk berlakon dalam Warna Cinta impian.

“Pada peringkat awal, saya sendiri tidak menyangka yang Erra juga bersetuju untuk berlakon dalam filem itu. Saya jangkakan sebaliknya.

“Selepas membaca skrip dan membuat sedikit rombakan jalan cerita, akhirnya kami bersetuju untuk berlakon sama.

“Memang kami ada menyuntik jalan cerita cinta kami yang tidak kesudahan sebelum ini dalam Warna Cinta Impian. Itulah realiti kisah cinta kami yang sebenar.

“Walaupun tak banyak pendedahan dibuat tapi itulah jalan ceritanya,” kata Awie sambil menafikan persamaan kisah cinta mereka dalam filem tersebut dengan Sembilu terbitan Skop Productions.

Berhubung soal keserasian, Awie mengakui dia tidak berdepan dengan masalah berkenaan malah desakan peminat yang meminta mereka untuk kembali menjalinkan cinta juga dihadapinya dengan profesional.

Cuma menurut Awie, dia tidak akan akur dengan perkara sebegitu walaupun niat tersebut baik terutama ketika dia berdepan dengan kemelut rumah tangga dengan Rozana yang belum selesai.

“Setakat usik-usik nak menyatukan semula kami ini, saya boleh terima lagi. Tak marah dan tak sakit hati pun.

“Tapi kalau nak minta saya buat keputusan besar sebegitu, tak mungkin. Sekarang ini ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan,” tegasnya.

Kenyataan yang dibuat Awie itu turut mendapat reaksi yang sama daripada Erra malah dia enggan membicarakan perkara tersebut yang disifatkan terlalu peribadi.

Sebaliknya menurut Erra, dia menyerahkan perkara itu kepada Yang Maha Pencipta yang lebih mengetahui jodoh yang terbaik buat dirinya.