Tidak teragak-agak untuk menggunakan saluran undang-undang dalam menuntut bayaran tersebut, kata Awal, individu yang dianggapnya tidak jujur itu juga ketika ini seringkali mengelak untuk menjawab panggilan telefonnya.

“Saya percayakannya sebab persahabatan kami, sebab itu saya tidak kisah dia simpan dulu bayaran itu. Tetapi bila saya minta hak saya dia beri pelbagai alasan sedangkan jumlah bayaran itu agak besar.

“Sebab itu saya guna Instagram untuk luahkan perkara ini dengan harapan orang lain juga tidak terkena seperti saya. Sebab dia masih lagi aktif malah turut menguruskan beberapa artis lain juga,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dia dan Scha sebagai duta jenama kenderaan Weststar Maxus selama setahun di Glenmarie, di sini, semalam.

Merupakan kali pertama berhadapan dengan perkara seperti ini, Awal memberitahu, dia juga sudah berhubung dengan peguam dalam mencari penyelesaikan dalam perkara tersebut.

“Sebenarnya bayaran isteri saya, Scha juga mengalami masalah yang sama. Cuma bahagian dia sudah dilangsaikan. Itu pun mengambil masa yang lama. Buat masa ini (yang tertangguh) tinggal bayaran saya pula.

“Buat masa ini saya masih berusaha menghubungi dia dan ingin mengetahui status bayaran tersebut,” kata Awal.

Menganggap perkara itu sebagai antara dugaan buat mereka sekeluarga, Awal bagaimanapun tetap bersyukur dengan limpahan rezeki yang diterima termasuk yang terkini dilantik menjadi duta Weststar Maxus.

“Sebagai pengguna produk saya sangat bangga untuk diberi peluang menjadi duta kepada Weststar Maxus.

“Istimewanya sambutan hari raya tahun ini juga memberi peluang untuk kami bergaya dengan kereta baharu,” katanya. - UTUSAN ONLINE