Malah istimewanya sehingga kini gabungan nama Awal Ashaari, Scha Alyahya dan Lara Alana menjadi antara jenama yang cukup dekat dengan peminat membuatkan mereka begitu bersyukur dengan sokongan yang diberikan sejak masih bujang sehingga kini bergelar ibu dan bapa.

Menurut Awal dan Scha, bukan suatu masalah buat mereka jika kini sudah tidak menerima gelaran ‘pasangan popular’ kerana niat mencari rezeki dalam bidang seni ini tidak tertakluk kepada gelaran tersebut semata-mata.

“Sejak dahulu lagi kami tidak mempunyai sebarang kelab peminat. Sebab itu kami anggap peminat yang masih setia bersama-sama kami sehingga kini sememangnya ikhlas.

“Soal pasangan popular atau tidak semuanya terpulang kepada mereka yang menyokong, apapun yang penting buat saya dan isteri adalah untuk masih relevan dalam industri dan mendapat kepercayaan klien untuk mempromosikan produk mereka,” kata Awal.

Sejauh mana mereka pergi, bagi Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 37, ada waktunya mereka perlu akur seandainya populariti yang pernah diraih sebelum ini mungkin lagi tidak sama.

“Jika peminat kini beralih kepada pasangan lain itu hak mereka kerana mereka bukan milik kami. Bagi kami tiada istilah terancam sebab kami mempunyai peminat secara semula jadi dan bukan melalui strategi tertentu.

“Memang saya sendiri lihat bagaimana peminat yang sebelum ini kita kenal beralih kepada artis lain. Bagi saya itu bukan suatu masalah memandangkan mereka mempunyai hak dan kami pula akan terus berada di sini untuk membuat kerja kami,” katanya.

Yakin dengan rezeki yang sudah ditentukan, bagi Awal, bukan waktunya juga untuk dirinya mewujudkan sebuah kelab peminat.

“Rasanya kami tidak perlu mewujudkan kelab peminat untuk bersaing dengan artis lain. Bagi kami dunia hiburan ini ibarat satu pusingan dan perkara sebegini datang dan pergi,” katanya positif.

Sasaran Scha 

Turut bersetuju dengan suaminya, Scha Alyahya atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 35, menjelaskan, dalam apa jua pekerjaan yang mereka lakukan, ada sasaran yang perlu mereka penuhi.

Jelasnya, ketika ini lebih penting untuk mereka memuaskan hati klien, tidak lagi sekadar mengecapi populariti semata-mata.

“Klien tidak sekadar melihat jumlah pengikut dalam laman sosial atau sebagainya sebab penting untuk mereka mengetahui kekuatan yang kami ada sebelum mereka bersetuju menggunakan perkhidmatan kami sekeluarga.

“Sebab itu bagi kami, setiap keputusan yang dibuat dalam industri ini terpulang kepada sasaran kami sendiri,” jelasnya.

Memberitahu yang populariti diraih sebagai pasangan suami isteri popular sudah digunakan sebaik mungkin dalam kerjaya mereka sebagai anak seni, kongsi Scha, yang mereka inginkan kini hanyalah meneruskan kerjaya seperti biasa.

“Sudah cukup rasanya kami berada pada titik perhatian itu dan kali ini sudah sampai masanya beri peluang kepada orang lain pula. Yang penting kami sudah menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu bercakap mengenai Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Berita Palsu, kongsi Awal, kerjasama yang diberikan adalah untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya berita palsu ini.

“Sebagai bapa kita tahu bagaimana bahaya benda sebegini kepada anak kita. Sebab itu saya rasa kempen seperti ini penting.

“Saya tidak bercakap dalam konteks sebagai artis tetapi perlu bagi saya terangkan kepada khalayak bahawa ada saluran buat mereka yang menjadi mangsa buli siber,” jelasnya.

Tambah Awal, melalui kempen ini juga dia berharap agar masyarakat juga faham akan kegunaan sebenar laman sosial dan tidak menyalah gunakan kebebasan yang diberi.