Membawakan watak Mirul, pelakon remaja kelahiran Bachok, Kelantan itu memberitahu, dia tidak mahu disebabkan latar belakangnya, bakat lakonannya jadi terhad dan dilihat stereotaip oleh pengarah mahupun penonton drama Melayu tempatan.

“Namun, saya tahu batas-batas yang perlu dijaga. Babak atau adegan bersentuhan yang ingin dijayakan haruslah tidak melampaui norma seorang Muslim.

“Setakat ini, saya tidak kisah jika diminta untuk menjayakan babak seperti bersalaman atau memegang tangan yang tidak menaikkan nafsu syahwat.

“Seandainya diberikan watak sebagai kekasih untuk drama percintaan, rasanya tanpa berpegangan tangan pun, babak romantik boleh direalisasikan menerusi mimik muka, bahasa tubuh dan juga kata-kata,” ujar Atiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah.

Pada masa yang sama, anak sulung daripada empat beradik itu berharap dia dapat membanggakan kedua-dua ibu bapanya kerana sedar dirinya bukanlah seorang pelajar pintar.

Mendapat kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang biasa-biasa sahaja, Atiq mahu kerjaya lakonannya berkembang dengan baik untuk menjadi seorang pelakon disegani pada suatu hari nanti. - UTUSAN ONLINE