Ini kerana, Astro yang bertanggungjawab menerbitkan program Gegar Vaganza (GV) berpendapat, isu tajaan barangan kemas tajaan Dr. Vida yang didakwa palsu oleh Aishah hanya melibatkan kedua-dua mereka tanpa ada penglibatan Astro.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, penajaan hadiah barangan kemas bernilai RM80,000 yang menjadi bahan perdebatan itu dihadiahkan oleh Dr. Vida kepada Aishah yang juga juara GV4 sebagai ganjaran tambahan atau bonus.

“Bagi menjawab pertanyaan media, kami di Astro berpendirian, kontroversi tajaan ini sebetulnya hanya melibatkan dua pihak iaitu Dr. Vida dan Aishah. Untuk pengetahuan semua, Dr. Vida telah berbesar hati untuk memberikan barangan kemas tersebut sebagai hadiah tambahan atau bonus kepada para pemenang.

“Ia ditaja sepenuhnya atas ihsan Dr. Vida dan tidak termaktub dalam perjanjian asal yang ditandatangani oleh pihak DSV dan Astro,” kata Emarina dalam kenyataan yang diedarkan kepada media sebentar tadi.

Kontroversi antara kedua mereka tercetus apabila penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Janji Manismu itu baru-baru ini mendedahkan bahawa hadiah rantai berlian bernilai RM80,000 yang dihadiahkan oleh Dr. Vida merupakan barangan kemas palsu.

Sementara Dr. Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman pula dalam reaksinya pula meminta Aishah untuk mengembalikan semula barangan berkenaan kepadanya untuk digantikan dengan ganjaran lain serta menegaskan, barang kemas yang diberikan kepada Aishah merupakan koleksi peribadinya yang dibeli dengan harga mahal dan bukan palsu.

“Minta pada Aishah pulangkan balik rantai itu kalau ia menjadi satu benda yang menjadi masalah kepada Malaysia sebab ramai yang dapat dosa. Pulangkan. Habis cerita.

“Bagilah balik, biar saya pakai rantai itu. Kalau itu yang menjadi masalah dan menjadi sumber dosa kepada warganet, saya akan ganti dengan Lavida Coin yang ada nilai sangat luar biasa,” kata Dr. Vida secara eksklusif kepada Utusan Online


Menyedari kontroversi berkenaan mendapat liputan meluas di media massa, Astro selaku stesen penyiar program GV, jelas Emarina, berasa amat kesal perkara ini menjadi isu yang sangat besar sehingga mencetuskan perang mulut di antara kedua-dua invididu yang sangat kami hormati.

Emarina berkata, sepanjang bekerjasama dengan kedua-dua selebriti itu, Dr. Vida disifatkan Astro sebagai seorang yang sangat bermurah hati dan komited dalam menyokong sebarang program yang diterbitkan di stesen berkenaan.

Sementara Aishah pula, digambarkan oleh Astro sebagai seorang artis yang memiliki karisma dan bakat seni yang luar biasa.

Bahkan, penyertaan Aishah dalam GV4 juga, diakui Astro, telah membantu melonjakkan reputasi dan imej program berkenaan.

“Justeru, sebagai stesyen penyiar kami berpendapat adalah tidak manis untuk kami berpihak kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kontroversi ini.

“Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan serta kematangan DSV dan Aishah untuk menyelesaikan segala kemelut dengan penuh berhemah dan integriti. Kami sangat optimis dan berharap agar ‘perang mulut’ di antara kedua mereka dapat diselesaikan dalam semangat satu keluarga secepat mungkin,” jelas Emarina lagi. - UTUSAN ONLINE