Menobatkan karya Pesan Dari Tuhan bagi kategori drama dan Hanyut untuk kategori filem, penganjuran ASK2017 disifatkan telus dari aspek penjurian berdasarkan maklum balas karyawan seni yang bersetuju dengan pemilihan pemenang.

Sekali gus, kesaksamaan itu memperlihat penganjur semakin matang menguruskan acara berkenaan bagi menambahkan prestij, di samping mengurangkan ‘drama’ ketidakpuasan hati warga seni yang pernah timbul sebelum ini.

Menggandingkan tiga orang hos iaitu Fahrin Ahmad, Jihan Muse dan Shuk SYJ, mereka berjaya mengawal perjalanan program berkenaan yang dipancarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Meskipun ada sesekali momen yang hambar, namun pengalaman yang dimiliki Fahrin dan Jihan dalam bidang pengacaraan melancarkan keseluruhan acara hingga ke penghujung.

Bahkan, persembahan nyanyian oleh Haqiem Rusli, Ayda Jebat, Stacy Anam, Hael Husaini, Salam Musik, Nora Ariffin, Akim & The Majistret, Black Hanifah dan Jaclyn Victor yang penuh tenaga merancakkan lagi momentum ASK2017.

Bercakap mengenai keputusan, telefilem arahan Erma Fatima, Pesan Dari Tuhan yang pernah ditolak oleh TV3 dan akhirnya disiarkan di TV2 berjaya mengubat kekecewaan setelah unggul membawa pulang empat trofi.

Selain dinobatkan sebagai Drama Terbaik, Erma juga diberi pengiktirafan selaku Pengarah Terbaik Drama dan Lakon TV Terbaik, manakala Remy Ishak yang memegang watak antagonis dalam drama berkenaan memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama.

Bagi kategori filem pula, naskhah Hanyut yang mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan ternyata berbaloi untuk dirasai sutradaranya iaitu U-Wei Haji Saari apabila menggondol lima buah trofi termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik Filem dan Lakon Layar Terbaik.

Dua lagi penghargaan milik produksi tersebut adalah menerusi gandingan hebat barisan pelakonnya iaitu Khalid Salleh dan Diana Danielle yang berjaya menggenggam trofi Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik Filem.

Rancangan Majalah Terbaik: 
Majalah 3 (Perisai Keamanan Bandar) (TV3)

Rancangan Realiti Terbaik: Mentor Milenia 2017 Akhir (TV3)

Rancangan Anugerah Terbaik: 
Anugerah Juara Lagu 31 (TV3)

Pelakon Komedi Terbaik: 
Ellie Suriaty (Papa Sayang) (HyppTV)

Drama Komedi Terbaik: Budak Ijat (TV3)

Lakon TV Terbaik: Pesan Dari Tuhan (TV2)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem: Diana Danielle (Hanyut)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem: Khalid Salleh (Hanyut)

Lakon Layar Terbaik: Hanyut (U-Wei Hj. Saari)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama: 
Azizah Mahzan (Terima Kasih Ramadan)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama: 
Remy Ishak (Pesan Dari Tuhan)

Pengarah Terbaik Drama: Erma Fatima (Pesan Dari Tuhan)

Pengarah Terbaik Filem: Hanyut (U-Wei Hj. Saari)

Pelakon Wanita Terbaik Filem: Sangeetha Khrisnasamy (Adiwiraku)

Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Khir Rahman (Rock Bro)

Pelakon Wanita Terbaik Drama: Fasha Sandha (Terima Kasih Ramadan)

Pelakon Lelaki Terbaik Drama: Hasnul Rahmat (Kapcai Ayah)

Drama Rantaian Terbaik: My Sweet Lavender

Filem Terbaik: Hanyut

Drama Terbaik: Pesan Dari Tuhan

Kata-kata pemenang ASK2017

Terkilan dengan kekalahan Azhan Rani

“Selepas drama ini ditolak oleh TV3 kerana tidak sesuai disiarkan di stesen TV berkenaan, saya menyimpannya selama dua tahun dalam simpanan saya.

“Namun, setelah Azhan memuat naik gambar ketika di set penggambaran drama tersebut dengan harapan agar ia disiarkan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menghantarnya ke TV2 dan alhamdulillah, diluluskan.

“Sebab itulah saya berasa terkilan apabila Azhan tidak memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama.” – Erma Fatima

Tidak pernah tonton filem lakonan sendiri

“Takut sebenarnya apabila diberi pengiktirafan setinggi ini. Bukan sekali, malah tahun ini sahaja sudah tiga kali menerusi filem Adiwiraku.

“Sejujurnya, apabila ramai bertanya sejauh mana kekuatan watak yang dibawa, sukar untuk memberi penjelasan kerana saya tidak pernah menontonnya. Hanya berdasarkan skrip sahaja.

“Entah kenapa, setiap kali produk lakonan saya ditayangkan, timbul perasaan gementar untuk menontonnya.” – Sangeeta Krishnasamy

Satu penantian dan pengorbanan yang berbaloi

“Jujurnya, setiap penghargaan yang diterima tahun ini amat bermakna buat saya dan seluruh tenaga kerja yang bertungkus-lumus menyiapkan naskhah Hanyut.

“Lebih dua tahun tempoh pembikinannya dengan bermacam-macam masalah timbul, namun akhirnya berbaloi setelah penat lelah dihargai sebegini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana juri mengangkat karya ini sehingga ke peringkat tertinggi dalam ASK2017.” – U-Wei Hj. Saari

Trofi kesembilan, pertama kali diiktiraf terbaik

“Lebih 15 tahun saya membabitkan diri dalam bidang lakonan dan telah memenangi lapan buah trofi, akhirnya hari ini saya membuktikan mampu jadi yang terbaik.

“Sebelum ini saya hanya memenangi trofi berdasarkan undian dan populariti, namun kemenangan kali ini menunjukkan kredibiliti dan kualiti lakonan saya.

“Ini adalah bonus terhadap kerja keras saya dan terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan kepada karier seni saya.” – Fasha Sandha

Di luar jangkaan, namun 
juri lebih mengetahui

“Saya menganggap diri ini sebagai pelakon yang dah mati, berlakon untuk meneruskan kerjaya sahaja. Apabila ada acara-acara sebegini, saya datang dan raikan.

“Penterjemahan ke atas kemenangan ini bukanlah bermaksud saya bagus atau handal daripada orang lain, cuma mahu lihat keluarga gembira.

“Harapan saya, janganlah mengata atas pencapaian atau penghasilan seni terutama dalam kalangan warga seni sendiri.” – Khir Rahman

Sorok trofi kerana takut timbul rasa riak

“Anugerah ini satu penganugerahan daripada Allah. Malah, setiap calon yang bertanding juga wajar diberi penghargaan atas usaha mereka menjadi yang terbaik.

“Seingat saya, ini adalah kemenangan kelima tetapi tidak ingat sama ada untuk Pelakon Terbaik atau Pelakon Pembantu Terbaik sebab semua trofi disimpan di rumah emak saya.

“Biarlah ahli keluarga saya berbangga dengan pencapaian saya. Kalau simpan di rumah saya, takut pula nanti timbul rasa riak dalam diri.” 
– Hasnul Rahmat