Pertama kali menampilkan 12 pengacara, ASK 2018 melakar sejarah tersendiri apabila menugaskan kesemua pengacara sebagai penyampai anugerah. Satu tindakan bijak kerana tidak ada pertanyaan hambar atau lawak tak kena tempat yang sering kita lihat dalam majlis anugerah.

Walaupun masih terdapat kekurangan sepanjang hampir tiga jam anugerah tersebut berlangsung, tetapi tahniah kepada pihak penganjur dan kru penerbitan yang berjaya menyelang- nyelikan persembahan dan penyampaian anugerah dengan cukup baik.

ASK 2018 memperlihat dominasi unggul daripada drama Pendosa Ingin Ke Syurga, drama rantaian yang mencipta fenomena, Nur; dan filem bergenre seram, Dukun.

Masing-masing membuktikan kehebatan dengan merangkul hampir kesemua anugerah utama.

Pendosa Ingin Ke Syurga terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. yang menunggu hampir dua tahun sebelum ditayangkan berjaya merangkul anugerah Drama Terbaik, Pengarah Terbaik (Rashid Sibir) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Fauziah Nawi).

Pastinya malam anugerah tersebut turut memberi kenangan terindah buat seluruh kru produksi Nur apabila berjaya membawa pulang trofi Drama Rantaian Terbaik (Melayu) yang julung kali diadakan.

Malah dua pelakon utamanya, Amira Rosly dan Syafiq Kyle masing-masing membuktikan bakat apabila menggenggam trofi Pelakon Terbaik Wanita dan Lelaki.

Sementara Dukun yang diperam selama 12 tahun berjaya merangkul empat anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik Filem (Dain Said), dan Datin Seri Umie Aida yang memegang watak sebagai Diana Dahlan membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menjadi milik Nam Ron.

Menerusi lakonan hebat sebagai gadis autisme, Nad Zainal diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama menumpaskan nama-nama besar antaranya Siti Elizad dan Sherie Merlis.

Trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama menjadi milik Jay Iswazir yang menampilkan lakonan hebat sebagai Nazmi, seorang lelaki kurang upaya yang mengalami spastik.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem pula menjadi milik Shaheizy Sam menerusi lakonan hebat sebagai Naufal dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Filem arahan sutradara hebat, Osman Ali itu juga memperlihat kemenangan Normah Damanhuri yang membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.

Secara keseluruhan, semua pemenang layak menerima pujian di atas kehebatan dan persembahan lakonan serta kerja keras seluruh kru produksi dalam menghasilkan sebuah karya bermutu tinggi.

Semoga industri drama dan perfileman negara terus berkembang dengan penghasilkan karya bermutu tinggi dan bertaraf antarabangsa.