Ajai telah menggunakan kepakarannya untuk menjamu orang ramai menerusi Restoran Asam Pedas Hirup miliknya yang terletak di Taman OUG Parklane, Kuala Lumpur.

Restoran yang menyediakan asam pedas ikan merah, ikan kembung, ikan pari dan ayam itu mula beroperasi sejak 28 Disember lalu.

Sebelum ini Ajai pernah menguruskan restoran yang sama di Pulau Pinang pada 2015 hingga Oktober 2017 tetapi premis tersebut terpaksa ditutup kerana ketiadaannya di sana.

“Saya terpaksa tutup restoran itu bukan kerana tidak laku tapi disebabkan kekangan waktu. Untuk mengurus restoran, kita tidak boleh serahkan 100 peratus kepada orang lain. Pemilik perlu berada di situ untuk pantau. Sekarang ini restoran di Pulau Pinang itu dijadikan kedai menjual tudung.

“Restoran di sini saya buka sebab ramai kawan-kawan bertanya bila nak beroperasi di Kuala Lumpur. Alhamdulillah atas permintaan dan doa kawan-kawan, akhirnya saya berjaya mendapat lokasi di OUG yang beroperasi sejak akhirDisember lalu,” katanya yang minat memasak itu.

Ajai yang bakal menyertai pertandingan Juara Lagu menerusi lagu Separuh Matiku Bercinta, dendangan Dayang Nurfaizah pada Februari depan itu berkata, dia bukan setakat memasak, malah turut membeli bahan mentah sendiri untuk dimasak.

“Restoran mula dibuka pada pukul 11 pagi hingga 10 malam dan saya pula mula turun ke dapur selepas subuh. Bahan-bahan untuk memasak, saya akan beli stok untuk seminggu pada hari Isnin di Pasar Borong Selayang.

“Setakat ini saya tidak menghadapi masalah untuk mendapat bekalan kerana saya sudah berkawan dengan beberapa peniaga. Saya suka beli sendiri bekalan bahan mentah bagi memastikan kualitinya.

Bagi memudahkan kerja, saya akan pastikan semua bahan mentah seperti ikan atau ayam sudah siap disiang atau potong. Begitu juga dengan bawang, saya akan beli yang sudah siap kupas,” jelasnya.

Kata Ajai, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk mencari lokasi dan mengubah suai premis sebelum restoran beroperasi dengan dibantu oleh enam orang kakitangan.

“Selama tiga bulan ini, saya akan beri tumpuan sepenuhnya kepada restoran. Orang bukan setakat datang makan tapi mereka mesti tanya Ajai ada tak? Itu yang susah bila saya tak berada di restoran. Bila sudah buka di sini, senang untuk saya atur waktu bagi kerjaya seni.

“Sebelah pagi saya akan uruskan untuk restoran, kerja-kerja studio selalunya sebelah malam. Sekarang ini kalau pergi studio tak boleh balik lewat sangat sebab pagi saya perlu memasak pula. Setakat ini, saya boleh atur jadual kerja dengan baik,” katanya.

Tambah Ajai, selepas tiga bulan restoran itu beroperasi, dia bercadang untuk berniaga sampai dinihari.

“Sekarang ini restoran beroperasi dari pukul 11 pagi sampai 10 malam saja. Bila semuanya sudah terurus, saya cadang untuk jual nasi lemak pula di bahagian hadapan restoran bermula pukul 11 malam hingga tiga pagi.

“Di kawasan ini biarpun ramai warga asing tapi ada juga orang tempatan yang menginap di pangsapuri di atas. Selain asam pedas yang dimakan dengan nasi, kami juga ada menawarkan set asam pedas bersama roti serta nasi ayam raja. Bagi yang nak tempah asam pedas untuk jamuan majlis pun kami boleh uruskan, termasuklah yang nak tempah mengikut pek makanan. Kalau tempahan 15 pek ke atas baru kami terima,” katanya yang menawarkan harga-harga serendah RM15 untuk satu set makanan.

Saya berkesempatan singgah di restoran Ajai dan tidak dinafikan asam pedas yang dihidangkan memang sedap dan boleh dihirup begitu sahaja. Bagi yang suka pedas, anda boleh minta sambal belacan sebagai tambahan kepada asam pedas, telur dadar dan kubis goreng.