Bagi Zimi yang juga merupakan penggerak utama kumpulan Numerus, kebersamaannya dengan Sofazr masih ada dan dia tidak akan sekali-kali meninggalkan band yang banyak menaikkan namanya itu.

“Ramai yang salah anggap dan memikirkan saya sudah keluar Sofazr. Tapi sebenarnya saya masih bersama-sama mereka dan Numerus pada asalkanya hanyalah band projek suka-suka.

“Saya dan abang, Wan mahu lari dari kebiasaan. Kami selalu jamming dan memilih lagu-lagu yang lebih keras yang jarang diperdengar kepada umum.

“Muzik ini hanya untuk gig-gig yang diadakan serata Kuala Lumpur. Bila bertemu dengan Dinda (vokalis Numerus) terus kami ajak dia menyertai kumpulan ini,” jelas Zimi tentang sejarah penubuhan band tersebut.

Untungnya Zimi tidak mempunyai apa-apa halangan daripada ahli-ahli Sofazr yang lain. Mereka sendiri faham naluri dan kehendaknya yang lebih gemar bereksperimental.

Yakin mampu memberikan fokus kepada kedua-dua band serentak, Zimi juga percaya kepada kelainan vokal yang ditunjukkan oleh Dinda yang baginya menambat hati. Tidak hairan andai lagu Satu-Satunya kini berjaya memikat pendengar.

Tidak betah duduk diam, mereka tahu muzik berkumpulan seperti yang mereka perjuangkan ada pasang surutnya. Justeru peluang yang ada terhidang di depan mata tidak pernah dipersia-siakan apatah lagi berpeluang merakamkan semula lagu nyanyian Saloma.

Lagu Ada Ubi Ada Batas yang dipetik daripada filem Anak Bapak yang menggandingkan Saloma dan P. Ramlee masih diingati oleh kebanyakan peminat.

Menerusi projek khas Saloma Biopic sempena telefilem yang disiarkan menerusi Astro First itu, Numerus turut menyumbangkan lagu tersebut bersama-sama barisan artis yang lain.

Bagi Dinda atau nama sebenarnya Atiqah Nurfatma Nor, dia pada mulanya sedikit terkejut dan tidak menyangka dapat merakamkan lagu itu kembali.

“Sejujurnya lagu ini sedikit asing bagi saya jika mahu dibandingkan dengan lagu-lagu yang lain namun itu tanggungjawab yang harus dilunaskan oleh saya.

“Paling penting Zimi menyuntik pembaharuan ke dalam lagu tersebut yang dilihat sesuai dengan konsep Numerus sendiri,” kata Dinda gadis berusia 23 ini.

Melihatkan video muzik terbaru lagu Satu-Satunya pasti gaya dan lagu mereka lebih dilihat ke arah nusantara yang biasanya dipelopori oleh kebanyakan band-band Indonesia.

Mempertaruhkan wanita sebagai vokalis, pastinya sedikit persamaan itu memberikan tanggapan baik dan buruk kepada perjalanan seni Numerus.

Bagi Dinda, dia yakin konsep yang cuba diterapkan oleh pihak syarikat rakaman mampu membawa mereka menakluk pasaran Malaysia dan Indonesia jika ada tuah.

“Soal imej itu bukan hal terbesar jika mahu dibandingkan dengan kualiti lagu. Kita sedaya upaya memberikan kesegaran kepada setiap produk lagu agar diterima ramai.

“Mungkin selepas ini Numerus akan tampil dengan lagu-lagu Inggeris seperti yang direncanakan,” jelasnya.

Bagi Wan pula, dia percaya kepada bakat adiknya untuk menentukan hala tuju Numerus pada masa akan datang.

Meskipun masih baru meneroka industri arus perdana, Wan sebenarnya sudah lama aktif di gig-gig dan persembahan persendirian.

Sebelum ini dia bersama-sama Zimi pernah aktif bersama kumpulan Jesselton dan sempat menghasilkan lima buah lagu bersama-sama band berkenaan.

“Saya percaya Zimi mampu menentukan masa depan Numerus. Dia berbakat dan saya sendiri banyak memberikan imput setiap kali kami mahu keluar dengan produk baru.

“Cuma saya tak mahu Numerus dibayangi imej Sofazr sahaja. Numerus kena nampak lain dari yang lain,” jelas Wan lagi.