Atas alasan tersebut, jenama tempatan bawah label Qashmeera tampil menerusi idea untuk menjalinkan kerjasama dengan selebriti tanah air bagi meluaskan lagi empayar perniagaan butik berkenaan.

Pemiliknya, Rosli Hamzah yang mahu dikenali sebagai Che Lee berkata, kolaborasi berkenaan ialah langkah yang diaturnya sempena kehadiran 2018.

“Tidak dapat dinafikan, kerjasama dengan barisan selebriti dapat melonjakkan lagi jualan sesetengah produk jika kena caranya.

“Bukan itu sahaja, selain mendapat bayaran sewajarnya, mereka (artis) juga dapat faedah apabila mampu mendekati peminat yang terdiri daripada pelanggan sedia ada tidak kira yang lama ataupun baharu.

“Secara tidak langsung, jalinan ini mendatangkan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Mega HITS.

Che Lee berkata demikian dalam majlis sidang akhbar dan memeterai perjanjian yang diadakan di butik Qashmeera, di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Antara selebriti yang hadir ialah Ayu Damit, Lisdawati dan Aleza Shadan yang diumumkan sebagai wajah eksklusif label berkenaan.

Menurut Che Lee, di samping itu, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan pereka fesyen terkenal, Amir Kadir yang sebelum ini pernah menghasilkan busana untuk digayakan artis Hollywood.

Menurutnya, Amir bertindak selaku pereka tudung untuk label Qashmeera dan berharap ini permulaan yang baik untuk suku pertama 2018.

“Jenama AK by Amir Kadir telah lama bertapak dalam industri fesyen tempatan sehinggalah dia berjaya mencipta nama pada peringkat antarabangsa.

“Terkini, dialah insan yang bertanggungjawab mereka busana cantik buat penyanyi Aishah ketika menyertai program Gegar Vaganza baru-baru ini.

“Jadi, ini adalah peluang keemasan yang tidak mungkin untuk saya lepaskan,” katanya.

Sama-sama untung

Ayu Damit ketika ditanya tentang penglibatannya dalam kempen mempromosikan jenama Qashmeera berkata, dia berbangga kerana manjadi pilihan pemilik butik berkenaan.

Ujar Ayu, sejak mengenakan hijab, dia bersyukur kerana rezekinya tidak pernah berkurangan.

“Meskipun dalam lapangan seni suara saya seperti tidak kelihatan, sebenarnya saya masih aktif dan sibuk dengan aktiviti nyanyian.

“Jadi, saya perlukan persalinan yang banyak untuk hadir menjayakan undangan nyanyian termasuklah tudung. Pelawaan Che Lee untuk bekerjasama dengan Qashmeera ibarat pucuk dicita ulam mendatang,” ujarnya.

Bagi Lisdawati atau mesra dengan nama Lis pula, sebagai pelakon yang masih ligat beraksi pada kaca televisyen menerusi pelbagai drama, ternyata dia memerlukan baju-baju yang bersesuaian dengan imej masing-masing.

Lisdawati menganggap peluang bekerjasama dengan Qashmeera merupakan rezeki yang besar di samping membantunya berjimat cermat.

“Semua orang sedia maklum, kos sara hidup sekarang ini semakin meningkat dan tidak salah jika kita sama-sama membantu.

“Dia tolong saya, jadi apa salahnya saya tolong dia pula dari sudut promosi. Sama-sama untung,” tambahnya.

Sama seperti Lisdawati, dramatis Aleza Shadan juga sependapat, karier lakonan yang diceburi sekian lama menuntut perbelanjaan besar.

“Semua pelakon perlukan modal yang besar untuk membeli pakaian. Jika ada tajaan sebegini, Alhamdulillah. Semoga urusan kita semua dipermudah,” ujarnya.

Selain pakaian kasual Muslimah, Qashmeera turut mengeluarkan koleksi tudung iaitu Miera Butterfly Premium.

Koleksi tudung tersebut terdapat dalam 14 warna pilihan dengan harga RM89.90 setiap satu.

Oleh kerana edisi terhad, maka hanya 14,000 helai tudung sahaja yang akan dijual.