Ariana Grande

Laman web muzik Idolator melaporkan, Grande meluahkan rasa tidak puas hati itu ketika menjadi tetamu dalam rancangan hiburan di laman sosial YouTube, Honeymoon Diaries di mana artis jemputan perlu berkongsi pengalaman mereka bergelar seorang selebriti.

Dalam status Twitternya, Grande berkata, dia sudah penat mendengar soalan tentang lelaki yang pernah wujud dalam hidupnya sama ada ketika ini atau pada masa lampau kerana banyak lagi perkara lain boleh diperkatakan.

“Saya penat melayan soalan seperti ini. Saya sedar bahawa saya boleh berkongsi banyak cerita kepada peminat selain daripada topik berkenaan.

“Saya mahu tegaskan, saya tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali diri saya. Saya juga bukan milik anda semua,” jelas Grande dalam status Twitternya.

Grande berharap, media perlu mengelak daripada melakukan kesalahan sama lagi untuk kepentingan bersama.

“Saya tidak sabar untuk hidup dalam dunia yang mana seseorang dinilai bukan berdasarkan kepada dengan siapa dia berkawan atau dengan siapa dia bercinta dan berkahwin. Seseorang perlu dinilai dari segi keupayaannya,” ujarnya lagi.