Menolak sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas itu, jelas Ardell Aryana, 26, dia mengakui perwatakannya memang nampak agak kasar.

Namun, jauh di sudut hatinya dia masih lagi seorang wanita normal.

Malah, dia juga bingung apabila kontroversi yang mengatakan dia seorang pengkid, sudah berlarutan agak lama dan membayangi perjalanan kariernya.

“Sejak dahulu lagi tiada kontroversi lain, selain mengatakan saya seorang pengkid dan menjalinkan hubungan songsang. Sudah banyak kali saya jelaskan yang saya bukan begitu.

“Berkenaan saya bergaduh baru-baru ini kerana berebut awek, juga tidak benar. Saya layan setiap pengikut di laman sosial saya, perempuan atau lelaki sama sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program travelog, Extreme Road Trip terbitan saluran Astro Bella di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Senang dengan potongan rambut pendek, bagi Ardell atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd. Amin, tidak ada keperluan untuk mengikut permintaan orang lain selagi dia selesa dengan gayanya.

“Sebelum ini rambut saya memang panjang, tetapi apabila diminta untuk potong rambut bagi memenuhi tuntutan watak dalam sebuah drama, saya turutkan.

“Lama-kelamaan saya semakin selesa dengan rambut pendek kerana mudah untuk diurus, tidak banyak masa yang perlu saya peruntukan setiap pagi.

“Namun, gaya ini bukanlah kekal selamanya. Malah, kalau saya berlakon saya akan ikut apa watak yang diberi. Misalnya, kebelakangan ini saya banyak menerima watak wanita memakai tudung,” katanya.

Selain kontroversi pengkid ini, Ardell juga pernah dikaitkan dengan seorang ‘Datuk’. Lebih mengejut individu yang dimaksudkan ialah ‘Datuk Red’ yang baru-baru ini terpalit dengan beberapa kontroversi.

“Sukar mahu saya jelaskan, sebab perkara ini agak peribadi kerana mengaitkan pihak berbeza.

“Apa yang boleh saya jelaskan, saya tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan dengan Datuk berkenaan, lebih kepada rekaan sahaja,” katanya.

Memberi cadangan mungkin sudah sampai masa untuk pelakon itu sendiri mendedahkan siapa buah hatinya. Bukan apa, dengan dakwaan bertalu-talu mengenai orentasi seksualnya, mana tahu dengan memperkenalkan siapa lelaki di dalam hatinya akan menutup segala kisah tidak enak itu. Mengaku dengan jujur, jelas Ardell, ini bukan masanya untuk dia bercinta.

“Saya belum ada kekasih dan masih belum berfikir soal kahwin. Jangan salah sangka, dalam waktu ini keluarga adalah fokus utama saya. Terutamanya ibu saya.

“Saya dilahirkan dalam keluarga mualaf. Bapa berasal dari Indonesia dan ibu pula berbangsa Cina. Ketika mereka berkahwin keduanya memeluk agama Islam. Bagaimanapun badai yang menimpa keluarga kami menyebabkan ibu saya bergelar ibu tunggal dan bersusah payah membesarkan kami dalam Islam.

“Melihat apa yang dilalui dia selama ini, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan ibu saya mempunyai kehidupan yang lebih baik kini,” katanya.

Selepas penjelasan panjang lebar itu, Ardell turut memberitahu dalam keluarganya juga hanya dia yang memilih bidang seni. Sekali gus memberi sebab untuk dia memastikan keluarganya menjalani kehidupan yang jauh lebih senang berbanding dahulu.

“Saya anak kelima daripada enam beradik. Hanya saya seorang sahaja yang bekerja dalam bidang seni, boleh dikatakan pendapatan saya lebih sedikit.

“Jadi tidak salah rasanya saya mahu memastikan keluarga saya senang dahulu,” katanya.

Bercakap mengenai wanita yang cukup dikaguminya itu, kata Ardell, ibunya, Sambian Abdullah adalah seorang yang cukup kuat di mata dia dan adik beradiknya yang lain.

Sebab itu, ketika ini dia tidak takut untuk berhadapan dengan pelbagai kontroversi kerana ibunya lebih mengenali siapa anak-anaknya.

“Memandangkan saya seorang sahaja yang menjadi pelakon jadi dia cukup positif. Pesannya hanya satu agar pandai jaga diri, tetapi mengenali saya memang dia tahu anaknya ini agak kasar sejak dari kecil.

“Adik-beradik saya yang lain semuanya bekerja sebagai jururawat, jadi bidang saya dan mereka berbeza. Tentunya cabaran berbeza sedikit dengan mereka, mujur mereka faham,” katanya.

Buat produk lelaki

Tidak kisah apa juga label orang di luar sana terhadap dirinya, bagi Ardell, dia lebih senang untuk menjadi dirinya sendiri. Ketika dilabel dengan gelaran pengkid, Ardell juga sedang sibuk untuk melancarkan produk khas buat jejaka di luar sana di bawah jenama Ardell Kacak.

“Saya sering ditanya golongan lelaki sebenarnya apa yang saya pakai pada wajah dan rambut. Jadi saya lihat ini sebagai peluang untuk saya membesarkan perniagaan saya.

“Sebelum ini juga saya sudah mempunyai produk kecantikan sendiri, jadi Ardell Kacak adalah yang terbaharu. Walaupun lebih ramai yang mengiyakan pendapat mereka mengenai kononnya saya memang pengkid apabila saya mahu keluarkan produk lelaki, itu bukan 
masalah sebenarnya,” katanya positif.

Sementara itu, bercakap mengenai program travelog, Extreme Road Trip yang menggandingkan dia bersama Elfira Loy dan Sherry Alhahad, dia mengakui cabaran yang dihadapi mereka bertiga bukan mudah.

Malah jelas Ardell, dia turut mengalami kecederaan ketika menjayakan salah satu episod program ini.

“Untuk program ini kami akan memandu ke seluruh negara mencari lokasi untuk melakukan aktiviti lasak. Apa yang menariknya, kebanyakan lokasi yang kami pergi itu sama ada tidak terlalu dikenali atau jauh.

“Memang seronok dan dalam masa yang sama juga saya turut mengalami kecederaan di kaki. Tetapi Alhamdulillah semuanya okey dan saya juga dalam proses untuk kembali sihat,” katanya

Sementara itu, program travelog, Extreme Road Trip Astro Bella akan menemui penonton setiap Sabtu mulai 1 Oktober depan.