Pun begitu, Ara mengakui, dia tidak pernah sesekali menyerah kalah dan berputus asa tatkala mendepani situasi tersebut. Baginya, selagi usaha dan kerja kerasnya dalam memacu kerjaya ke hadapan, kecaman dan kritikan haters tidak meninggalkan parut di dalam hatinya.

Justeru, tatkala bercerita tentang perancangan masa hadapannya dalam industri, Ara berkongsi impian untuk menghasilkan sebuah lagu yang ingin ditujukan kepada masyarakat yang gemar memberikan kecaman kepada semua figura awam.

Tambah Ara, jika tiada halangan dan perancangannya berjalan lancar, lagu tersebut mungkin akan menjadi lagu keempat nyanyiannya selepas lagu baharunya, Paku yang kini giat dipromosikan.

Ditanya adakah dia tidak risau jika lagu impiannya itu turut dikecam, Ara menjelaskan bahawa dia sentiasa bersedia menerima kritikan atau kecaman warganet.

Baginya, perkara tersebut bukan baru dirasai lantas membuatkan dia tidak kisah sekiranya dikecam lagi.

“Kalau ada rezeki, saya rancang untuk mengeluarkan album mini pada tahun hadapan. Selepas berhasil dengan lagu Warkah Untukku, Bunga dan Paku, saya mahu mengabadikan lagu-lagu tersebut di dalam album dengan dua atau tiga lagu baharu lagi.

“Untuk lagu keempat nanti, saya mahu rakam sebuah lagu dengan bait-bait lirik menggunakan ayat sarkastik yang ingin ditujukan kepada haters di luar sana. Bukan haters saya sahaja sebaliknya disampaikan secara umum.

“Saya sudah biasa dikecam, ada yang disebabkan salah saya sendiri dan ada juga bukan salah saya. Tanpa tahu perkara sebenar, saya tetap dikecam. Jadi saya sangat berharap dapat merealisasikan hasrat untuk merakam lagu seperti ini.

“Saya masih mencari lagu dan lirik yang sesuai. Jika tiada halangan, saya akan rakam lagu tersebut secara duet dengan seorang penyanyi rap wanita. Saya sudah menyampaikan hasrat tersebut kepada beliau dan masih dalam perbincangan,” jelasnya.

Bercerita tentang lagu Paku, Ara meluahkan rasa gembira kerana akhirnya dia berjaya mendapatkan sebuah lagu yang paling dinanti-nantikan selama ini. Bergenre pop rock, lagu tersebut adalah jiwa sebenar Ara.

“Lagu ketiga ini saya berpeluang untuk keluar daripada genre muzik saya sebelum ini. Lagu Warkah Untukku dan Bunga memberikan pengalaman kepada saya menyanyikan lagu balada rock.

“Kini, menerusi lagu Paku, saya akhirnya dapat menyanyikan lagu pop rock yang kena dengan jiwa saya. Ini adalah genre yang paling saya suka jadi saya melalui proses rakaman yang mudah tanpa ada cabaran besar. Sejujurnya dua lagu sebelum ini lebih mencabar,” ujarnya.

Keluar daripada genre terdahulu, Ara akui, pada awalnya dia agak risau tentang penerimaan peminat terhadap lagu rancak pertamanya itu.

“Memang saya ada terfikir tentang perihal tersebut. Risau juga sekiranya ada peminat yang sukar menerimanya.

“Namun saya harus berfikiran positif. Kalau peminat tidak boleh terima, itu maknanya bukan rezeki saya,” katanya.

Mahu tebus kesilapan

Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) tahun lalu menyaksikan Ara bergelut dengan masalah kesihatan menyebabkan nyanyiannya berlangsung tidak seperti yang diharapkan. Namun Ara enggan mengalah dan Bunga menjadi taruhan keduanya untuk memasuki AJL33 nanti.

Bakal berentap pada separuh akhir Muzik-Muzik 33 pada 16 November ini, tinggi harapan Ara agar lagu tersebut mampu masuk ke pentas akhir, sekali gus melayakkannya beraksi sekali lagi dalam AJL.

Ujarnya, harapan tersebut diletakkan di dalam hatinya kerana ingin menebus kesilapan lalu. Meskipun bersaing dengan penyanyi-penyanyi yang hebat, Ara enggan mengalah dan berdoa agar diberikan rezeki kepadanya.

“Sebagai persediaan menghadapi separuh akhir Muzik-Muzik, saya kini sedang memberikan fokus kepada kelas vokal. Saya harap Bunga akan berjaya masuk peringkat akhir dan memberi peluang untuk saya tebus kesilapan lama.

“Bagaimanapun, saya akui sangat risau sekiranya kejadian lalu berlaku kembali. Saya sangat takut jadi pada tahun ini saya akan lebih berjaga-jaga terutama soal kesihatan.

“Kalau diberi rezeki ke pentas akhir, saya akan mula berehat daripada sebarang persembahan dua minggu sebelum pertandingan. Saya tidak mahu memenatkan tubuh badan kerana itu boleh menjadi faktor kepada masalah kesihatan,” jelasnya.

Selesa berkawan sahaja

Lari daripada soal karier, Ara diajak berkongsi cerita perihal hati dan perasaan. Diselangi gelak ketawa, Ara menjelaskan bahawa dia belum bersedia untuk mengejar cinta.

Baginya, masih panjang lagi masa untuk mencari teman lelaki dan tumpuannya kini adalah untuk mengukuhkan nama dan jenama dalam dunia nyanyian.

Meskipun mengakui ada lelaki yang cuba mendekati dirinya, Ara menjelaskan bahawa dia lebih selesa menjalinkan ikatan persahabatan sahaja.

“Buat masa ini, saya masih tidak memikirkan soal teman lelaki atau cinta. Saya mahu fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Belum masanya saya fikir tentang hati dan perasaan.

“Mungkin selepas usia 25 tahun, barulah saya akan memikirkannya dengan serius. Saya memang ada ramai kenalan lelaki, tetapi belum sampai tahap bercinta,” katanya.