Pengarah Wang Quan'an, sebahagian daripada generasi keenam pengarah filem China, memenangi anugerah filem terbaik Berlin pada 2007 untuk filem cinta Tuya's Marriage yang rakamkan di padang rumput Mongolia.

Wang, 44, kini bertanding dengan Roman Polanski, Michael Winterbottom, Britain dan pesaing-pesaing dari seluruh Asia, Eropah serta Amerika Syarikat (AS) dalam anugerah wayang gambar antarabangsa yang pertama tahun ini.

Martin Scorsese juga akan mempersembahkan filem seram terbarunya yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Shutter Island, tetapi filem ini tidak tersenarai dalam barisan pesaing.

Juri diketuai oleh pengarah Jerman, Werner Herzog yang pernah mengarah filem Fitzcarraldo dan Rescue Dawn serta pelakon yang mendapat Anugerah Oscar, Renee Zellweger, akan menyampaikan penghormatan pada 20 Februari sebelum majlis itu berakhir keesokan harinya.

Apart Together (Tuan Yuan) yang pertama kali ditayangkan di Berlin ketika salji menyelaputi karpet merah, mengisahkan tentang seorang askar yang menentang pasukan tentera Komunis pimpinan Mao Zedong sehingga terpaksa berundur ke Taiwan pada 1949.

Selepas 50 tahun, dia mendapat kebenaran bersama beribu-ribu lagi rakan seperjuangannya di bawah program perdamaian 1987 untuk kembali ke tanah besar.

Sekembali ke Shanghai, dia bertemu kembali dengan teman hidup dan anak lelakinya namun wanita yang ditinggalkannya itu berkahwin dengan seorang bekas askar Tentera Pembebasan Rakyat.

Apabila dia meminta bekas isterinya itu menemaninya pulang ke Taiwan, wanita itu terperangkap antara rasa kasih yang masih ada dan kesetiaan kepada suami.

Festival Filem Berlin diwujudkan oleh rakyat AS ketika Perang Dingin di Berlin Barat, kini menjadi tarikh penting dalam kalendar perfileman Eropah selepas Anugerah Filem Cannes.

Tahun ini menyaksikan filem-filem dari Asia mendapat perhatian. - AFP