Itulah yang dihadapi empat sahabat, Uda (Shahizan Shahip), Bob Damokis (Mohd. Tasyrif Zamanee), Angah (Ezammuddin Khamis) serta Haiqal Miqkail sewaktu mahu menguruskan mayat sahabat mereka.

Perkara ini mungkin kedengaran agak janggal namun itulah realiti yang mungkin dihadapi oleh generasi akan datang.

Sehubungan itu, mengambil pendekatan mahu memberi kesedaran bahawa pencapaian negara bukanlah sepatutnya diukur dengan pembangunan material semata-mata, produksi Sekutu Ghuraba tampil berbicara tentang hal tersebut dalam teater Mayat.

Ujar Mohd. Hasnul Hafidz Kamisan atau lebih dikenali sebagai Bue Hasnul selaku pengarahnya, teater Mayat mengkritik isu sosial bahawa pembangunan kebajikan dan kepentingan hidup berkomuniti adalah sesuatu harus dititik beratkan.

“Isu tanah kubur yang semakin berkurangan dan tiada lagi tanah yang kosong bakal menjadi subjek dominan dalam kehidupan masyarakat pada masa hadapan.

“Sama seperti rumah. Semakin hari, walaupun bilangan rakyatnya semakin bertambah namun tidak semua berpeluang untuk memiliki rumah kerana faktor-faktor semasa,” katanya kepada Utusan Online, baru-baru ini.

Karya asal Prof. Dr. Hatta Azad Khan ini juga terselit sindiran yang berkait rapat dengan usaha murni membangunkan kemajuan Malaysia secara umum dan juga secara khusus.

Bue Hasnul berkata lagi, menariknya tentang jalan cerita itu adalah di saat muncul seorang lelaki iaitu ‘orang luar’ (Nizam Yamin), perangai mereka yang bergelar ‘sahabat’ mula terbongkar kerana kepentingan diri masing-masing.

“Orang luar itu bertindak sebagai pembeli mayat. Dia merupakan seorang pembekal alat ganti organ dalaman kepada pesakit kronik seperti yang mengalami masalah jantung, buah pinggang dan sebagainya.

“Dari situ, perbualan panjang hanya untuk menguruskan ‘mayat’ telah tercetus,” katanya.

Teater Mayat akan dipersembahkan kepada orang ramai bermula 28 hingga 30 September ini di Panggung Warung Orkes, Kulai.

Sebarang pertanyaan dan info lanjut, boleh diajukan terus kepada Omorq di talian 017-3595960. - UTUSAN ONLINE