Dalam konteks kita, cabang indus­­tri kreatif yang paling popu­lar adalah filem dan drama. Ini terma­suklah dokumentari dan animasi. Tujuan dana RM100 juta itu adalah untuk melonjakkan karya kreatif. Siti memahami bahawa lonjakan itu bukanlah pendapatan semata-mata tapi kualiti pemikiran yang dituangkan dalam karya berkenaan.

Isu dalam penerbitan filem atau drama Melayu bukanlah teknologi tapi pemikiran. Krisis pemikiran yang sangat teruk berlaku dalam penerbitan filem dan drama. Siti percaya krisis pemikiran tidak dapat diatasi walau dilongokkan berlori-lori duit sekalipun. Ia akan terus menghasilkan karya yang buruk walaupun mungkin mendapat pendapatan yang besar.

Pemikiran

Siti analogikan pemikiran sebahagian besar pembuat filem dan drama bernilai RM1. Apalah yang boleh dibuat oleh pemikiran yang bernilai RM1 dengan duit RMN100 juta? Kalau pemikiran tidak dilonjakkan menjadi nilai RM100 juta, adalah satu yang sia-sia memberi dana untuk industri kreatif.

Krisis utama dalam filem dan drama Melayu adalah pemikiran. Penerbit tidak ada pemikiran hanya mengharapkan untung yang berkarung-karung. Jadi, RM100 juta itu untuk apa? Untuk membeli teknologi? Tolonglah karya kreatif adalah pemikiran. Teknologi hanya membantu atau kosmetik untuk mencantikkan lagi karya itu. Kalau tidak ada pemikiran ibarat memberi kamera yang mahal kepada budak kecil. Banyak penerbit dan pengarah filem menyalahkan keadaan di mana mereka tidak mempunyai teknologi canggih untuk menghasilkan karya hebat. Itu satu yang sangat mengarut. Apakah yang teknologi CGI misalnya boleh lakukan kalau pengendalinya (pengarah) yang berpemikiran bernilai RM1?

Bagi Siti, dana RM100 juta adalah pelaburan yang tidak kena pada tempatnya. Pelaburan ini tidak akan mendapat pulangan dalam bentuk karya yang hebat pemikirannya. Pemikiran yang besar tidak menunggu mendapat belanja yang besar baru hendak diperlihatkan. Dengan belanja RM1 pun kalau yang berpemikiran besar boleh hasilkan karya yang besar.

Siti pengagum filem-filem Iran. Walaupun Iran sebuah negara Syiah tapi fahaman itu tidak ada dalam filem Iran. Cuba bandingkan filem Iran yang tidak ada teknologi canggih, pemikiran dalam filem mereka besar. Filem Iran bercakap tentang manusia dan masyarakat, filem dan drama kita bercakap tentang hal-hal basi.

SITI JARUM: LPF telah meluluskan filem menghina perjuangan Islam di selatan Thailand.