Jelasnya, walaupun sudah menemui ketiga-tiganya, namun dia hanya bertindak sebagai saksi dalam pertemuan itu dan masih tidak tahu situasi sebenar yang telah berlaku.

“Cerita yang keluar di akhbar, memang itu yang saya dengar daripada mereka. Soalan saya kepada mereka, apa yang kamu semua sudah buat? Adakah ini untuk undian, publisiti atau mahu mengeratkan silaturahim?” persoalnya ketika ditemui Utusan Online pada malam Anugerah Skrin 2017, semalam.

Bercakap mengenai kontroversi tersebut, kata Zul, walau apa juga yang berlaku dia akan tetap menerimanya dengan hati terbuka dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Akhirnya apa sahaja yang berlaku sama ada ini satu kesilapan atau apa jua, saya tetap akan menerimanya.

“Apa yang boleh saya buat kalau saya okay atau tidak?” soalnya lagi.

Diminta memberi nasihat sebagai seorang yang matang kepada ketiga-tiga pelakon itu, Zul berharap Zahirah, Kamal dan Emma mengambil berat akan kerjaya mereka sebagai pelakon dan fokus.

“Saya sudah melalui pengalaman ini dan apa yang boleh saya katakan, perkara sebegini tidak baik untuk karier anda semua.

“Bila diberi peluang jayakan drama, kawal diri sewaktu berada di dalam dan di luar set penggambaran. Jangan buat ‘drama’ di luar set,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan dia bakal bernikah dengan Zahirah tahun hadapan, Zul hanya menjawab ringkas, “Tanya lah bapak dia.” - UTUSAN ONLINE