Menurut Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 22, situasi itu sedikit berbeza dengan impak terhadap debut Pemilik Cinta yang dilancarkan setahun sebelum itu sejurus menjuarai Akademi Fantasia 2016.

“Sehinggakan pernah terfikir, apa kurangnya diri saya berbanding rakan-rakan sebaya lain yang menceburkan diri dalam bidang ini?

“Tak bermaksud nak cakap diri ini bagus, cuma nak tahu adakah saya ada buat salah dengan sesiapa atau personaliti saya yang bermasalah?” ujar Amir berkongsi cerita.

Amir berkata demikian usai menyempurnakan majlis pelancaran single ketiga miliknya yang diberi judul Puas, hasil gubahan Ayden Ali dan Ikhwan Fatanna.

Tambahnya, enggan permasalahan yang dihadapinya itu mendatangkan kesan negatif, Amir melekakan dirinya dengan bermain permainan video.

“Berbulan-bulan juga saya asyik main video game semata-mata untuk mengelak daripada memikirkan hal tersebut, malah pernah rasa ingin putus asa.

“Kalau bukan video game, saya akan tonton rakaman konsert dalam dan luar negara termasuklah Anugerah Juara Lagu ke-32 yang berlangsung awal tahun ini dalam laman video seperti YouTube.

“Akhirnya, saya dapat semula semangat untuk kembali aktif menyanyi dan terhasillah single Puas,” ujar Amir.

Akuinya, ekoran tidak begitu arif mengenai selok-belok industri muzik tanah air selain tidak cukup bersedia berhadapan cabaran yang ada, Amir terpaksa akur dengan nasibnya.

Namun, kini Amir bangkit untuk kembali memperjuangkan minatnya bergelar penyanyi dan penghibur. - UTUSAN ONLINE