Penegasan penyanyi kacak itu jelas menunjukkan komitmen dan kerja kerasnya yang tidak sekadar melepaskan tanggungjawab kepada pihak penganjur semata-mata. Artis sendiri perlu sama bertanggungjawab untuk menarik kehadiran orang ramai.

“Saya tidak risaukan tentang soal teknikal memandangkan krew yang terlibat sudah biasa mengendalikan konsert. Cuma saya memang risau akan jumlah kehadiran penonton memandangkan itu merupakan sumber semangat kepada kami yang berada di atas pentas.

“Semua orang bekerja keras untuk merealisasikan konsert. Sudah tentu jumlah kehadiran peminat juga memainkan peranan penting untuk menentukan hala tuju persembahan pada malam itu nanti,” katanya yang akan terlibat dalam konsert Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Kharisma- Live In Kuala Lumpur pada 28 April ini.

Tanpa menafikan soal promosi merupakan antara hal yang perlu diambil berat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, pastinya peminat mula berkira-kira untuk membeli tiket bagi menyaksikan mana-mana persembahan hiburan.

Untuk konsert yang akan disertainya nanti, Anuar tidak lokek memperuntukkan masa bagi melakukan promosi agar dapat menarik peminat untuk menyaksikan konsert eksklusif yang bakal diadakan di Dewan Plenari Kuala Lumpur (KLCC).

“Saya tidak boleh selesa dengan apa yang ada ketika ini. Walaupun sudah berpengalaman tetapi diberikan kepercayaan untuk terlibat dalam persembahan besar bukan satu tugas yang boleh dipandang mudah. Segala perkara perlu dilakukan dengan teliti agar terus menghasilkan persembahan yang terbaik. Orang sudah mengeluarkan wang ringgit untuk menonton persembahan dan sebagai penyanyi saya perlu membayar kembali dengan memberikan yang terbaik kepada semua,” tegasnya.

Bercerita mengenai konsert itu, Anuar bakal mendendangkan beberapa buah lagu popular daripada album sebelum ini dan dalam masa yang sama turut menyanyi bersama dengan Bunga dan Yuka dalam satu segmen.

Tambahnya, tidak mudah untuk mencari lagu yang sesuai untuk mereka bertiga kerana vokal masing-masing berbeza. Sudah tentu pemilihan untuk mencari lagu yang mampu dinyanyikan secara harmoni bukan satu proses yang mudah.

“Apabila mahu menyanyi bersama, kena memilih lagu yang benar-benar setanding dengan vokal masing-masing. Bagi saya perkara berkenaan amat penting bagi menentukan sama ada masing-masing boleh menyanyi bersama atau tidak.

“Saya sendiri tidak mahu ada yang tenggelam sekiranya tersalah pilih lagu. Kalau boleh biarlah persembahan itu akan meninggalkan kesan kepada semua. Untungnya kami sudah melalui proses tersebut dan mencapai kata sepakat,” tambah penyanyi yang popular dengan lagu Ketulusan Hati ini lagi.

Mengharapkan sokongan daripada peminat, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini akan melakukan beberapa perubahan besar kepada soal susunan muzik bagi memberikan kelainan. Dia sendiri enggan peminat bosan dengan muzik dan cara nyanyian yang sama setiap kali konsert disertainya.