Kini, meskipun sudah bergelar isteri dan menyandang status Datin, pemilik nama sebenar Nasriah Ngasri, 32, itu masih kekal ceria, saling tidak tumpah seperti era kegemilangannya yang menempa nama sebagai pelakon kanak-kanak pertama pada usia 11 tahun memenangi kategori pelakon wanita terbaik.

Setelah agak lama menyepi dari pentas lakonan, finalis Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM28 menerusi filem Love Supermoon itu menidakkan tanggapan tersebut, sebaliknya memberitahu dia masih aktif berlakon.

Bagaimanapun katanya, rumah tangga yang dibina adalah keutamaan yang harus diberi lebih perhatian berbanding bidang lakonan, yang diakuinya telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

“Lakonan adalah darah daging saya, mana mungkin untuk saya berhenti berlakon. Kadang-kadang dek rindukan sangat bidang ini, saya terpaksa mencuri masa melepas gian berada di set penggambaran dengan menerima watak sampingan.

“Sebagai seorang suri di hati suami berserta empat permata hati, tanggungjawab di rumah tetap diutamakan,” kata isteri kepada Datuk Mohd. Sumali Reduan yang dikurniakan seorang anak lelaki, Sufi Harraz kini berusia tiga tahun.

Terdahulu, hasil perkahwinan pertamanya bersama Abdul Wafi Hassan, dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 11, Abdul Wafri, 8, dan Nazharah Afrozah, 6.

Berkecil hati?

Dalam pada itu, Anne dan kakaknya, Darling atau Nasreen Ngasri menerusi syarikat produksi mereka, NS Star dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menerbitkan sebuah drama aksi berjudul Hero, memaparkan keberanian serta pengorbanan anggota bomba Malaysia.

Disiarkan pada setiap hari Isnin pukul 9 malam di TV2, bagaimanapun karya 13 episod itu ditenggelamkan oleh sebuah lagi drama berkonsep hampir serupa terbitan Global Station iaitu Abang Bomba I Love You di saluran Astro Ria.

Menjawab pertembungan tersebut, Anne amat optimis bahawa produknya yang membariskan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Tiz Zaqyah, Rusdi Ramli, Fezrul Khan dan Mimi Ernida di bawah arahan sutradara tersohor, Bade Azmi itu ada impak tersendiri terhadap komuniti.

“Tidak perlu saya hendak berkecil hati kerana itu adalah rezeki masing-masing. Jika hendak dibandingkan, Hero adalah kehidupan realiti yang dihadapi pasukan bomba negara ini, manakala Abang Bomba I Love You adalah kisah cinta anggota bomba yang diselang-selikan babak berkaitan kerjayanya.

“Lagipun, Hero cuma disiarkan sekali seminggu berbanding Abang Bomba I Love You yang bersiaran empat kali seminggu. Jadi tidak sesuai untuk kedua-dua drama ini dibuat perbandingan.

“Bagaimanapun selepas empat episod, pihak kami mendapat maklum balas positif daripada audiens yang menggemarinya dan berharap rating meningkat saban minggu. Harapan saya juga agar Hero dapat mewujudkan budaya lebih baik dengan terapan elemen kekeluargaan, kenegaraan dan persahabatan yang turut diselitkan,” katanya kepada HITS.