Anis Al Idrus sedang sibuk membuat rakaman single terbaharu.

Bakal dilancarkan selewat-lewatnya hujung bulan depan, Anis berkata, lagu ciptaan sepenuhnya daripada Hafiz Hamidun itu bertajuk Tak Guna dan merupakan single kedua selepas, Mengapa.

“Saya memang teruja untuk melancarkan single ini sebab sudah lama saya tidak tampil dengan produk sendiri. Selain lakonan dan pengacaraan, saya memang ingin terus menceburi bidang nyanyian.

“Saya tidak kisah jika ada yang kata lagu syok sendiri atau sebagainya tetapi saya yakin dengan bimbingan dan kelebihan yang ada pada Hafiz, lagu ini boleh pergi jauh dan diterima peminat.

“Saya memang merancang untuk tampil dengan muzik video sekali cuma beri peluang untuk single kedua ini bergerak terlebih dahulu. Kalau tiada aral melintang, saya akan tampil dengan muzik video pula,” katanya.

Berbicara soal kerjaya seninya, Anis kini sedang sibuk di set penggambaran Dia Pertama yang menampilkan Anis sebagai pengacara yang akan menemuramah mereka yang telah memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bidang tertentu.-UTUSAN ONLINE