Ada yang geram melihat perangai Airil yang panas baran dan kemudian bersikap romantik yang di luar jangkaan terhadap isterinya, Fatihah. Pasti setiap hari penonton tidak sabar nak mengetahui bagaimanakah nasib Fatihah, adakah dia bahagia atau sering berendam air mata?

Drama yang mula disiarkan 29 Mei lalu setiap Isnin hingga Khamis itu menjadi perhatian kerana dari episod pertama lagi sudah ada tarikan. Bukan kerana pelakon utamanya adalah Shukri tetapi juga kerana jalan ceritanya yang menarik.

Andainya Takdir merupakan idea asal Datuk A. Aida dan skrip dihasilkan oleh Wan Mahani Wan Hassan. Drama 16 episod itu diterbitkan oleh A. Aida Production Sdn. Bhd.

Selaku penerbit, Aida berkata, dia sengaja mahu menampilkan drama berat bersempena Ramadan, seperti drama terbitannya, Lambaian Ramadan yang dilakonkan oleh Ady Putra, Siti Elizad dan Reen Rahim yang pernah disiarkan sebelum ini.

“Kalau buat drama berat, nama pengarah yang selalu muncul di fikiran adalah Along Kamaludin kerana dia ada jiwa mengarah drama begitu.

“ Sentuhannya dapat membuat hati penonton tersentuh.

“Memandangkan drama Lambaian Ramadan mendapat sambutan hangat, saya kena kekalkan momentum tersebut. Setakat ini, Alhamdulillah saya mendapat respons yang baik daripada penonton Andainya Takdir,” katanya kepada Mega HITS.

Tambah Aida, dia juga memilih Shukri untuk membawa watak utama kerana tahu kemampuan aktor tersebut. Lagipun pada awal kemunculan Shukri, pelakon itu sering berlakon dalam drama terbitannya.

Tentang pelakon wanita pula, kata Aida, dia mahu memberi peluang kepada Nina yang pada pandangannya seorang pelakon berbakat.

“Shukri kita semua tahu kebolehannya dan tidak dinafikan dia mampu menarik perhatian penonton. Sementara Nina pula seorang pelakon yang hebat cuma khalayak saja masih tak nampak (bakatnya). Saya harap menerusi drama ini Nina kembali menyerlah.

“Begitu juga dengan Puteri Balqis yang kita tahu kalau berlakon memang menyentuh perasaan.

“Selain jalan cerita yang menarik, saya juga sering pastikan pelakon dalam drama terbitan saya merupakan mereka yang hebat seperti Idris Mat Diah dan Rosnah Mat Haris.

“Saya harap drama ini dapat meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton,” tambahnya.

Tiada lagu tema baharu

Drama yang menelan kos sebanyak RM500,000 itu menjalani penggambaran sekitar ibu kota dan tidak disertakan dengan lagu tema baharu. Aida berkata, dia tidak berkesempatan untuk mencipta lagu seperti drama-drama terbitannya yang lain.

“Sudah menjadi kelaziman saya kalau ada drama baharu, mesti ada lagu baharu yang dicipta. Bagaimanapun saya tidak berkesempatan mencipta lagu tema baharu bagi Andainya Takdir kerana sibuk.

“Namun ramai yang tawarkan saya untuk memilih lagu artis mereka untuk dijadikan lagu latar dan saya bersyukur kerana tidak perlu risau mengenai lagu tema.

“Biarpun saya dapat banyak lagu tapi saya pilih yang sesuai dengan jalan drama. Tidak dinafikan lagu yang dijadikan lagu latar sesebuah drama boleh membantu lagu tersebut untuk popular,” katanya.

A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 46, yang sibuk menerbitkan drama-drama untuk saluran Salam HD (Saluran 113) di Hypp TV berkata, kebanyakan drama yang disiarkan di saluran tersebut berunsur Islamik.

“Sekarang ini selain sibuk menerbit drama untuk saluran sedia ada, syarikat saya juga bekerja keras menghasilkan drama dan program untuk saluran Salam HD.

“Alhamdulillah, sejak saya diberi tanggungjawab membekalkan program untuk saluran tersebut sejak 5 Jun 2016, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Ada pelbagai program tempatan dan luar negara juga. Saya juga ada perancangan untuk bekerjasama dengan penerbit di Brunei, Thailand, Filipina dan Asia Barat.

“Semua itu akan dilakukan selepas raya. Sebagai pembekal program saya cuba memberikan yang terbaik agar kita mendapat manfaat daripada program yang disiarkan,” ujarnya.