Kira-kira lima tahun mendirikan rumah tangga dengan maestro muzik terkenal Datuk Ramli M.S., penyanyi yang baru sahaja melancarkan single Jutaan Purnama itu mahu mengecap kebahagiaan bersama anak-anak di samping belaian suami tercinta.

"Alhamdulillah, Allah masih lanjutkan usia untuk menginjak umur 37 tahun dan menikmati rasa bahagia berkongsi hidup dengan suami saya.

"Tak dinafikan, hidup berumah tangga ada turun naiknya. Namun, semua itu saya anggap sebagai asam garam dalam sesebuah perhubungan yang mendorong pemikiran lebih matang.

"Pada masa yang sama, tanpa anak, tidak lengkap sesebuah perkahwinan itu kerana zuriat ada penyeri rumah tangga," katanya.

Alyah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir yang dianjurkan oleh kelab peminat Alyah4Ever dan ditaja sepenuhnya oleh pengasas produk kesihatan Lime Shots, Datin Yulia Rosalina Yusop.

Mengulas tentang usahanya untuk memperoleh anak, Alyah memberitahu dia pernah menjalani perubatan alternatif seperti mana yang dilalui oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

"Sebelum Siti Nurhaliza umumkan kehamilannya, saya dan suami pernah mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar perbidanan dan sakit puan bertanyakan tentang rawatan sesuai.

"Memang ada cadangan untuk melakukan rawatan IVF atau Inseminasi Intrauterin (IUI), dua kaedah kehamilan yang popular di Malaysia.

"Bagaimanapun, sebelum menjalani salah satu rawatan itu, fizikal dan mental perlu berada pada tahap terbaik, tidak boleh dibebani tekanan kerja," ujarnya.

Justeru, Alyah yang sedang sibuk mempromosikan dua buah single terbaharunya iaitu Mengapa Harus Aku (duet bersama Farawahida) dan Jutaan Purnama menangguhkan seketika proses untuk memulakan rawatan tersebut.

Katanya, dia mungkin tidak keberatan untuk mencuba kaedah berkenaan demi mendapatkan zuriat. - UTUSAN ONLINE