AURA seorang bintang ternama masih belum pudar dalam diri Camelia.
 

Namun, sebilangan besar wartawan hiburan tanah air sedia maklum, selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan berjaya, Camelia yang berasal dari Kuching, Sarawak memilih untuk memberi tumpuan pada keluarga.

Bidang nyanyian bukan lagi menjadi keutamaan Camelia.

Penyanyi jelita yang kini memegang gelaran Datin Seri ini bagaimanapun, sering dilihat dalam pelbagai acara sosial dan wajahnya juga kerap dilihat dalam laman-laman sosial

rakan-rakannya yang terdiri daripada socialite tempatan.

Sekalipun sudah lama tidak muncul dalam media arus perdana, namun kejelitaan Camelia masih lagi belum pudar, bahkan beliau dilihat semakin sofistikated.

Wajah terbaru Camelia dapat dilihat dalam laman sosial Instagram jurusolek ternama, Khir Khalid yang juga rakan karib penyanyi itu.

Beberapa gambar yang dimuat naik Khir itu memperlihatkan Camelia sangat elegan dan kecantikan penyanyi berkenaan langsung tidak terusik.

Selain beberapa gambar terbaru Camelia, Khir turut memuat naik gambar penyanyi itu dengan anaknya, Aisha Asmara Khan yang jelas sekali mewarisi kecantikan ibunya.

Dalam waktu yang sama Khir juga turut berkongsi rakaman nyanyian Camelia untuk lagu Aku makin Cinta.

Kali terakhir penyanyi ini mengeluarkan album adalah pada tahun 2007.

Tentu sekali perkongsian yang dibuat oleh Khir mengubat kerinduan peminat-peminat Camelia. - UTUSAN ONLINE