Filem AMNK arahan Datuk Profesor A. Razak Mohaideen itu akan menemui penonton pada hari raya pertama iaitu 6 Julai ini di 70 buah pawagam di seluruh negara.

HITS turut menemu bual pengarah A. Razak untuk mengetahui apa reaksinya apabila diberitahu hanya satu sahaja filem Melayu yang disiarkan di pawagam berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Bagi A.Razak, pengeluar filem tempatan tidak boleh menghasilkan filem yang menggunakan tema perayaan seperti mana di Hollywood kerana tarikh tayangan tidak menentu.

“Bayangkan kalau penerbit buat filem berkisar raya, tiba-tiba tidak ada slot yang sesuai pada tarikh yang dikehendaki. Sebab itulah penerbit lebih selesa membuat filem yang tidak menjurus kepada satu tema kerana takut waktu tayangan yang diingini tidak boleh ditepati.

“Kalau betul hanya satu filem Melayu yang disiarkan pada hari raya ini iaitu AMNK, saya rasa bersyukur kerana tidak perlu bersaing dengan filem tempatan yang lain, selain daripada filem-filem luar,” katanya.

Katanya, tanpa saingan daripada penerbit tempatan yang lain merupakan satu kelebihan kepadanya. Namun di waktu yang sama, kata A. Razak, dia terpaksa berhadapan dengan risiko.

“Filem yang ditayang waktu musim perayaan ni berisiko sebenarnya, kerana orang lebih seronok berkunjung ke rumah saudara mara daripada bertandang ke pawagam. Setakat ini saya bersyukur kerana filem-filem terbitan Line Clear Motion Pictures Sdn. Bhd., tidak pernah menghampakan setakat ini.

“Lagipun filem AMNK ini berkisar tentang keluarga, jadi mungkin satu keluarga akan pergi menonton kelak. Harap begitulah. Walaupun ini filem komedi tetapi ada unsur-unsur satira dan pengajaran kerana AMNK bukan hiburan kosong,” jelasnya.

Jelas A. Razak, AMNK merupakan filem arahan terbaharunya selepas lama menyepi dalam bidang pengarahan. Kali terakhir dia mengarah adalah filem Nana Tanjung 2 pada 2007 yang mendapat sambutan hangat itu. AMNK yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta itu merupakan kesinambungan daripada filem-filem yang berkisar tentang kehidupan masyarakat anak mami di Pulau Pinang.

Sebelum ini filem yang menggunakan judul anak mami ialah Anak Mami The Movie (2002), Mami Jarum (2002), Anak Mami Jarum Junior (2003), Anak Mami Kembali (2005), Nana Tanjung 1 (2006) dan Nana Tanjung 2 (2007).

Mengekalkan landasan masyarakat, adat dan budaya keluarga ‘anak mami’, AMNK mengisahkan keluarga Mamu Nizam (Chik Pak Man Telo), seorang duda dan pengusaha Restoran Nasi Kandaq Al Basheer yang bekerja keras untuk memajukan perniagaannya.

Mamu hidup bahagia bersama lima orang anak perempuannya iaitu Fuziah (Fasha Sandha), Fitri (Nur Risteena Munim), Farah (Ezzaty Abdullah), Fatin (Amylia Nastasha Aziz) dan Fify (Elisya Sandha).

Namun perniagaan Mamu Nizam mula merosot setelah kemunculan gerai Mami Kalsom (Sheila Mambo). Lebih memeningkan Mamu Nizam ialah walaupun Mami Kalsom berniaga tanpa lesen dan keadaan gerainya yang agak kotor, para pelanggan tetap memilih gerai Mami Kalsom.

Mamu Nizam yang tertekan mendapatkan khidmat nasihat Mamu Hussin (Azmir Cuit Raja) dan Tuan Akhlak Khan (Azhari Zain).

Mamu Hussin mencadangkan Mamu Nizam untuk mengeksploitasi kejelitaan kelima-lima anak perempuannya sebagai tarikan.

Apa yang merisaukan Mamu Nizam ialah kesemua anak perempuannya bersifat manja dan tidak pernah bekerja. Namun kerana terpaksa, Mamu Nizam berjanji kepada anak-anaknya untuk menunaikan apa sahaja impian mereka asalkan mereka sanggup berkhidmat dan menjayakan perniagaan keluarga mereka.

Ternyata taktik perniagaan Mamu Nizam berkesan dan secara langsung menaikkan kemarahan Mami Kalsom. Ada sahaja rancangan jahat Mami Kalsom bagi memusnahkan perniagaan Restoran Nasi Kandar Al-Basheer tetapi semuanya gagal.

Kini Mami Kalsom cuba memperguna anak lelakinya Farid (Qi Razali) untuk bekerja di Restoran Al-Basheer bagi mencari rahsia kejayaan Restoran Al-Basheer.