Bukan itu sahaja, Ameng juga sebenarnya menyimpan hasrat untuk melihat anaknya mewarisi bakatnya sebagai seorang penyanyi.

Pernah merancang menghasilkan album khas yang turut menampilkan tiga anaknya iaitu Wan Az Aleesa, Wan Azevanatassha dan Wan Amar Haikal beberapa tahun lalu, Ameng bagaimanapun akur apabila perkara tersebut tidak berjaya dilakukan.

“Kalau ayah mereka penyanyi, sudah tentu bakat itu akan datang juga pada anak. Ketiga-tiga anak saya bersuara merdu, saya nampak mereka bertiga mempunyai pakej sempurna untuk bergelar penyanyi.

“Namun atas alasan tertentu, anak sulung dan kedua tidak boleh meneruskan minat dalam bidang nyanyian. Mereka juga sudah makin dewasa, jadi mereka sudah memilih jalan hidup sendiri selepas ini,” luah Ameng.

Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha ialah anak hasil perkongsian hidup Ameng dalam perkahwinan pertamanya dengan pelakon dan juga produser, Datuk A Aida manakala Wan Amar Haikal pula adalah satu-satunya anak vokalis kumpulan Spring ini bersama isteri baharu, Sabariah Zakariah.

Tetap mahu melihat salah seorang daripada warisnya melangkah ke dunia seni, Ameng berhasrat anak bongsunya Wan Amar Haikal berjaya dalam bidang ini.

“Anak bongsu saya sangat berbakat. Dia pernah mewakili sekolah untuk acara nyanyian dan tak sangka dia menang pertandingan itu. Saya memang galakkan dia menyanyi, namun buat masa ini biar dia tumpukan pada pelajarannya.

“Habiskan pelajaran terlebih dahulu kemudian baru saya akan tunjukkan jalan untuknya dalam industri ini,” jelas Ameng.

Agak lama tidak berjumpa dua cahayamatanya ketika dia menerima hukuman penjara 10 tahun pada 2011, ia tidak menjejaskan hubungan antara dia dan dua orang anak perempuannya.

Sering bertanya khabar dan bertukar pandangan, Ameng percaya hubungan kekeluargaan tidak akan luput walau apa jua cabaran yang diterima.

“Biarpun waktu itu kami terpisah lama, alhamdulillah ia tidak menjarakkan hubungan kami dalam satu keluarga. Anak-anak saya tinggal dengan ibu mereka dan kami kerap berhubung menerusi laman sosial dan panggilan telefon.

“Cepat betul masa berlalu dan mereka juga sudah semakin besar. Walaupun tinggal bersama ibu, saya nampak mereka mendapat pendidikan yang baik serta pandai menjaga diri sendiri.

“Anak yang pertama sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala anak kedua pula baru selesai SPM. Mereka memilih bidang yang digemari dan saya sangat berbangga,” jelas Ameng.

Reunion Spring

Melihat kebangkitan band-band seusia dengan Spring, Ameng tidak teragak-agak untuk mengumpulkan kesemua ahli kumpulan Spring.

Percaya dengan aura beberapa lagu hits Spring yang kekal menjadi malar segar, Ameng memberitahu dia akan kembali bekerjasama dengan syarikat rakaman Sony Music untuk menghasilkan lagu-lagu baharu.

“Sony telah melamar kembali Spring kerana menurut mereka Spring adalah artis Sony yang menerima royalti tertinggi.

Melihat kepada kejayaan itu, mereka berminat untuk melahirkan semula Spring baharu dengan idea yang lebih mantap.

“Masih mengekalkan ahli yang sama, kami semua sedang sibuk di studio bagi mengumpulkan seberapa banyak bahan bagi membolehkan Spring diterima pada era moden ini. Sebagai permulaan, kami tampilkan lagu Sampai Hati versi baharu yang akan dinyanyikan bersama Datuk Awie,” jelas Ameng.

Tidak hanya fokus kepada lagu-lagu lama yang popular, Ameng berkata, mereka juga akan merakam semula lagu-lagu lain di dalam album terdahulu yang tidak begitu dikenali untuk kembali dikomersialkan.

Tidak mahu tergesa-gesa untuk membuat konsert ‘reunion’ Spring, jelas Ameng, dia bimbang sekiranya akan mengalami kerugian jika terlalu terburu-buru.

“Memang ada pelan nak buat konsert, namun kami masih mengharapkan bantuan orang lain. Saya banyak belajar daripada kesilapan. Seperti tahun lalu saya buat persembahan berbayar tapi malangnya tidak mendapat sambutan dan saya rugi.

“Saya tidak berani. Untuk membuat konsert kita perlu ada keyakinan yang kuat, saya tidak mahu laksanakan jika akan merugikan,” jelas Ameng yang turut diundang mengadakan konsert di Stadium Terengganu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada April ini.

3 Suara

Berpadu suara bersama dua lagi artis bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah dan Zamani, menurut Ameng, dia berbangga apabila sekali lagi diundang dalam konsert berskala besar itu.

“Konsert ini akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 6 April ini. Sama seperti konsert sebelum ini, 3 Suara masih mengekalkan konsep yang sama iaitu sebagai kempen antidadah.

“Insya-Allah dengan kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri Perak termasuk Lembaga Pelancongan serta Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan negeri Perak (KASIH), serta Radio RTM Perak, konsert ini akan berjaya dan mendapat sambutan yang menggalakkan,” kata Ameng.