WAN AMINUDDIN
WAN AMINUDDIN

Gangguan halusinasi sepanjang tempoh itu juga, kata Ameng, menyebabkan isterinya, Sabariah Zakariah mengelak tidur bersama kerana bimbang akan dibunuh olehnya.

Mendedahkan dengan lebih lanjut, Ameng, 50, berkata, bisikan pertama yang didengarnya ialah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Cheras Baharu selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di Summit USJ, Subang pada pukul 4 pagi beberapa tahun lalu.

Ameng atau nama sebenarya Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, selain diganggu de­ngan halusinasi itu, dia juga dapat melihat individu ghaib berpakaian ala-ala pendekar lengkap memakai tengkolok, sampin serta sebilah keris.

“Individu ghaib ini menyatakan bahawa saya hampir hendak mati dan menyuruh supaya singgah di kubur. Dalam keada­an menggigil, saya telah singgah di tanah perkuburan Islam Cheras Baharu.

“Ketika itu, saya melihat kubur dalam keadaan terang dan bukannya menakutkan sehingga timbul perasaan insaf walaupun berada di bawah pengaruh dadah jenis ecstasy,” dedah Ameng dalam wacana bertajuk Dadah: Aku Peduli, Kau Jangan Tak Peduli di Kompleks Karangkraf, di sini hari ini.

Pendedahan itu dibuat Ameng sebagai mengulas kenya­taan moderator wacana iaitu pengacara TV, Ahmad Fedtri Yahya bahawa dadah membo­lehkan seseorang berhalusinasi sehingga membawa padah termasuk melakukan jenayah.

Turut menjadi panel wacana itu ialah bekas Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abdul Halim Mohd. Hussin; Ketua Penolong Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali serta Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Kemanusian Jabatan Pendidikan Selangor, Khairul Anuar Awang.

Dalam masa sama, Ameng menzahirkan rasa syukur kerana gangguan halusinasi itu tidak pernah membisikkan perkara-perkara jahat kepadanya sebaliknya bertujuan menginsafi dirinya.

“Namun, walaupun didatangi bisikan saya tidak pernah insaf sebaliknya terus terlibat dan mencuba pelbagai jenis dadah di negara ini kecuali air ketum sepanjang 20 tahun terlibat dalam penagihan dadah.

“Bagaimanapun, saya bersyu­kur apabila sempat diberi kese­daran apabila dihukum penjara enam tahun dan 10 sebatan,” ujarnya.